Tak ada ancaman kepada agama, kenapa nak utamakan politik berbanding haji?

Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berpendapat, semua pihak perlu memahami terlebih dahulu di mana letak kedudukan haji dan umrah, serta di mana kedudukan politik.

Beliau berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning baru-baru ini adalah pertandingan antara dua parti yang sama-sama dikuasai orang Islam, yang mana beliau melihat keadaan itu bukanlah satu ancaman kepada syiar Islam.

“Tidak ada ancaman sama sekali kepada syiar agama. Jadi mengapa mahu utamakan politik dan mengabaikan haji serta umrah?,” soalnya dalam satu wawancara memetik BH Online semalam.

Mohd Nakhaie berkata, jika berlaku peralihan kuasa politik kepada orang bukan Islam yang berkemungkinan akan menghapuskan ibadah haji, maka pada waktu itulah undi boleh diutamakan berbanding ibadah Fardhu Ain itu.

“Apabila ada perlawanan antara orang Islam dengan orang bukan Islam, yang sekiranya orang bukan Islam menang, maka haji akan dihapuskan, maka orang Islam mesti mempertahankan kuasa.

“Namun dalam keadaan kita di Malaysia, UMNO lawan Pas sama-sama Islam. Ini bukan terhapusnya syiar Islam, haji dan umrah,” katanya.

Belia berkata, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang langsung tidak menjelaskan bagaimana politik itu harus diutamakan daripada mengerjakan haji dan umrah secara individu.

Justeru katanya mainan politik yang tidak mengikut keadaan ini akan merosakkan kerana melibatkan agama seperti ibadah haji tanpa menjelaskan kedudukan sebenar.

“Jadi ini sama ada kejahilan atau sengaja menimbulkan kontroversi yang jelas dengan agama, sedangkan sudah terang kita hanya boleh lakukan perkara itu (menangguhkan haji dan umrah) dalam keadaan darurat, baru boleh utamakan (politik) dalam keadaan tertentu”, ujarnya lagi.

BACA JUGA Peguam Negara berjaya peroleh kebenaran merayu kes Titah Adendum