Adun Sura mahu saman Dr Zulqarnain kerana dakwa dia hina Agong
Adun Sura, Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, beliau sedang membuat kajian untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam perlembagaan, Dr Zulqarnain Lukman.
“Saya sedang mengambil langkah undang-undang terhadap Zulqarnain Lukman atas kenyataan liar dan bersangka buruk ini,” kata Adun berkenaan mengulas tulisan Dr Zulqarnain yang menyifatkan kenyataannya sebagai menghina Yang Dipertuan Agong.
Muhammad Fakhruddin, menegaskan bahawa tuduhan yang mengaitkan beliau dengan perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong adalah satu tuduhan yang sangat berat, tidak berasas, bersifat jahat dan berniat jahat (mala fide).
“Peguam Zulqarnain Lukman secara terbuka telah membuat kenyataan yang memberi gambaran seolah-olah saya menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan kepada institusi Raja-Raja Melayu — sedangkan kenyataan asal saya langsung tidak menyentuh apatah lagi menghina mana-mana Raja atau institusi DiRaja.
“Tuduhan ini bukan sahaja mencemar reputasi saya sebagai wakil rakyat, malah cuba mencetuskan persepsi buruk yang berunsur fitnah terhadap saya secara peribadi dan politik,” kata beliau.
Sebelum ini, Zulqarnain dalam tulisan yang kemudiannya dipetik Malaysiakini berkata, analogi yang dibuat oleh Adun dari Pas itu melalui tulisannya terlalu jauh melencong berniat tidak baik kepada Yang Dipertuan Agong.
“Jika Adun ini hendak bermusuh dengan DAP itu dia punya fasal. Tetapi menyebarkan naratif songsang begini tidak perlu dibuat,” katanya.

Zulqarnain (gambar atas) dalam tulisannya bertanya, Adun ini sedar atau tidak dalam Perlembagaan Malaysia ini mengenai kedudukan Raja-Raja.
“Adun ini sedar atau tidak kedudukan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia ini jauh lebih kuat daripada Perlembagaan Singapura.
“Dalam Perlembagaan Malaysia ini kesemua jawatan penting dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Menteri, Ketua Polis, Panglima Tentera, Ketua Hakim, Peguam Negara dan banyak lagi jawatan penting kerajaan kesemuanya perlu mendapat perkenan YDPA atau Majlis Raja-Raja.
Katanya, dalam Perlembagaan Singapura tiada peruntukan berkaitan YDPA atau Majlis Raja-Raja.
“Adun ini sedar atau tidak bahawa sebarang perlanggaran Perlembagaan itu adalah suatu perkara yang serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang sama ada secara sivil atau jenayah.
“Tulisan Adun ini adalah memperkecilkan kuasa dan kedaulatan YDPA dan Majlis Raja-Raja seolah-olah Adun ini menganggap YDPA dan Majlis Raja-Raja ini boleh diperkotak-katikkan oleh kuasa politik.
“Tulisan sebegini adalah satu cenderung kepada perbuatan menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan rakyat kepada YDPA dan Majlis Raja-Raja.
“Adun ini sudah melampaui batasan undang-undang dalam bersuara. Tindakan undang-undang patut dikenakan ke atas Adun ini,” kata Zulqarnain.
BACA JUGA ‘Kena herdik dengan LOD, mencicit menyusun jari’