Laporan forensik 10 video rasuah ADUN Sabah keluar seminggu lagi

Laporan forensik membabitkan 10 rakaman video ADUN Sabah yang dikaitkan dengan rasuah akan dikeluarkan kira-kira seminggu lagi.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mengambil masa sedikit lebih lama berikutan banyak video yang perlu diproses.

Kata beliau, SPRM perlu meneliti video-video tersebut untuk mengelakkan sebarang pertikaian terhadap keadilan siasatan.

“Mereka (pegawai penyiasat) memerlukan masa sedikit lagi kerana ada 10 rakaman video, bukan satu video.

“Kita kena tengok teliti. Siasatan kena adil nanti akan ada pihak-pihak mempertikaikan pula dan mempersoalkan adakah ini satu siasatan forensik yang adil dan sebagainya, jadi kita kena buat cara elok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025: Recalling Jakarta Statment hari ini.

Sebelum ini, Azam memaklumkan 10 video yang dikemukakan kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan ADUN Sabah sedang dianalisis.

BACA JUGA Adun Sura mahu saman Dr Zulqarnain kerana dakwa dia hina Agong