Pergolakan Bersatu Perak makin meruncing, ada akuan berkanun tolak kepimpinan Peja

Pergolakan dalaman Bersatu Perak semakin meruncing dengan kemunculan akuan berkanun yang mendesak agar Ketua Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu digantikan.

Salah seorang ketua bahagian Bersatu Perak yang enggan dinamakan mendakwa akuan tersebut ditandatangani 16 daripada 24 ketua bahagian Bersatu Perak yang tidak bersetuju dengan kaedah Faizal memohon pertukaran tempat antara Adun Sungai Manik Zainol Fadzi Paharudin dengan Adun Changkat Jong Nadziruddin Bandi.

“SD itu minta kedudukan Peja dikaji semula atau digantikan dengan pemimpin lain, ramai tidak setuju kerana tidak dimaklumkan pertukaran kerusi itu sebelum permohonan rasmi dibuat ke DUN.

“Surat itu diberi kepada Timbalan Presiden Hamzah Zainudin pada minggu lalu, sekarang kita tunggu arahan selanjutnya,” katanya, lapor FMT.

Sumber tersebut turut menyifatkan tindakan Faizal memalukan presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Faizal yang lebih mesra dengan panggilan Peja memohon penukaran kerusi ekoran daripada pelantikan Nadziruddin sebagai setiausaha Bersatu Perak.

Jawatan tersebut kosong apabila dilepaskan oleh Zainol.

Sebilangan bahagian Bersatu menyifatkan usaha Peja sebagai ‘cubaan untuk membenarkan Nadziruddin mengambil alih jawatan pemangku ketua pembangkang daripada Zainol selepas Razman Zakaria dari Pas digantung selama enam bulan.

Permintaan tersebut telah ditolak speaker DUN tapi beliau memindahkan Nadziruddin ke barisan depan.

BACA JUGA: Konflik kepimpinan Bersatu Perak yang meruncing