Talkin, qunut nazilah dibaca Pas semasa kempen pilihan raya hina Islam
Naib Pengerusi 1 Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed menegaskan bacaan talkin dan qunut nazilah oleh Pas sebagai sebahagian kempen pilihan raya adalah satu penghinaan kepada Islam.
Beliau berkata, Pas menggunakan Islam tidak kena pada tempatnya, mengulas tindakan parti pembangkang itu memasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning baru-baru ini.
“Talkin orang baca kepada si mati, tu pun selepas selesai dikuburkan. Bila talkin dijadikan “lawak politik”, maka ianya satu penghinaan kepada amalan Islam.
“Begitu juga Qunut Nazilah, ianya disyariatkan ketika berhadapan dengan musibah yang besar atau serangan puak bukan Islam, bukan untuk mendoakan kehancuran sesama Islam kerana pilihan raya,” jelas Che Ibrahim lagi.
Semasa kempen PRK DUN Ayer Kuning lalu, Pesuruhjaya Pas Melaka Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin memimpin bacaan doa qunut nazilah.
Untuk rekod, doa qunut nazilah disyariatkan oleh Rasulullah SAW sebagai reaksi terhadap musibah besar atau kezaliman terhadap umat Islam.
Contohnya, seperti penindasan terhadap umat Islam di Palestin selain ketika bencana besar atau wabak serta apabila berlaku kezaliman nyata terhadap umat Islam sebagai satu umat yang bukan sekadar perbezaan politik.
BACA JUGA ‘Kena herdik dengan LOD, mencicit menyusun jari’