Dilabel pembelot bangsa, dua MP DAP saman ADUN PN kerana memfitnah

Dua Ahli Parlimen DAP akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin daripada Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan memfitnah.

Jasri didakwa memuat naik hantaran Facebook yang memfitnah Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentung, Young Shefura Othman.

ADUN tersebut antara lain mengatakan bahawa dua MP DAP itu sanggup menjadi “sukarelawan untuk jadi pembelot bangsa” serta kata-kata lain yang memfitnah mereka.

“Kami memandang serius perkara ini kerana sebelum ini kami sentiasa difitnah oleh pengikut PN di alam maya.

“Kami tidak sangka perangai ini dicerminkan juga oleh pemimpin mereka seperti ADUN ini.

“Kami juga berasa amat kecewa kerana seorang wakil rakyat beragama Islam seperti ADUN Pahang ini sanggup memfitnah kami sejurus berakhirnya bulan Syawal,” kata dua Ahli Parlimen berkenaan dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Syahredzan berkata, mereka akan mendapatkan nasihat peguam dan memulakan tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat pembangkang itu.

Beliau juga menasihatkan semua wakil rakyat dan pemimpin PN untuk berhati-hati dalam tutur kata mereka.

“Jangan lupa bahawa sebelum ini, pemimpin-pemimpin PN telah diarahkan membayar pampasan disebabkan mahkamah mendapati mereka telah memfitnah,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Harga stabil, subsidi telur ayam akan ditamatkan berfasa mulai 1 Mei