Harga stabil, subsidi telur ayam akan ditamatkan berfasa mulai 1 Mei

Selepas kejayaan memastikan harga telur ayam terus terkawal di pasaran, kerajaan memutuskan untuk menamatkan kawalan harga bekalan itu dan mengurangkan kadar subsidi telur dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula 1 Mei 2025.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memberitahu, pemberian subsidi bagi telur ayam hanya akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.

“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif,” kata KPKM.

Kementerian itu berkata, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Menurutnya hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.

Sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian.

Sementara itu bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah.

“Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” kata KPKM.

Rakyat boleh menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berhubung isu bekalan telur melalui e-mel rasmi KPKM di alagat @kpkm.gov.my atau melalui hotline Ibu Pejabat KPKM Putrajaya 03-8000 8000

BACA JUGA Ringgit melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan