Hadi tetap anggap PN berjaya di Ayer Kuning, ulangi gelar DAP anti-Islam
Pas tetap menegaskan Perikatan Nasional (PN) dalam “beberapa aspek” menunjukkan kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning lalu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpendapat penurunan undi Melayu Islam disebabkan langkah mempersuci DAP dan rakan-rakannya oleh UMDAP.
“Walaupun calon Pas atau PN, Ustaz Abd Muhaimin Malek ialah seorang tokoh agama yang bertauliah dan mengajar di banyak masjid.
“Malah, muridnya ramai daripada kalangan UMNO, mereka sekadar memahami Islam dalam ibadat fardu ain sahaja, tetapi menolak kewajipan politik dalam Islam.
“Maka, tindakan UMDAP mempersuci DAP berjaya menarik atau boleh membeli mereka dengan politik wang dan jentera kerajaan sepertimana amalan yang digunakan UMNO dalam BN dahulu,” dakwa Abdul Hadi menerusi artikelnya, “UMDAP mempersuci DAP” dalam Minda Presiden hari ini.
Dalam masa sama, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa DAP sebagai anti-Islam.
Bertahaluf
Menurut Abdul Hadi, Pas sebelum ini pernah bertahaluf dengan DAP dan PKR tetapi kemudian membatalkannya kerana berpandukan pada surah al-Mumtahanah, ayat lapan dan sembilan.
“Asalnya, bertahaluf dan berta‘awun dengan pihak bukan Islam yang tidak menentang Islam adalah diharuskan, sehingga orang bukan Islam boleh menyertai kerajaan pusat dan menjadi Exco yang tidak berkait dengan dasar Islam, dinamakan sebagai wizarah al-tanfiz.
“Walau bagaimanapun, DAP yang nyata anti-Islam dilarang menyertai kerajaan pusat berpandukan surah al-Mumtahanah ayat 9,” ujarnya.
Abdul Hadi menambah terbukti dalam perlembagaan DAP, parti komponen Kerajaan Perpaduan itu bercita-cita menegakkan negara sekular yang tidak memberikan kuasa kepada Islam.
Malah, tambahnya, DAP mengeluarkan kenyataan secara terbuka menentang pelaksanaan syariat Islam, walaupun penguatkuasaan syariat Islam itu adalah terhadap penganut Islam sahaja.
Sehubungan itu, jelas Abdul Hadi, Pas menolak kerjasama dengan pihak bukan Islam jika tujuannya mahu akan kemenangan dan kuasa semata-mata.
Dalam masa sama, Hadi merumuskan bahawa PRK Ayer Kuning dan PRK Nenggiri tidak boleh menjadi ukuran kerana perubahan boleh berlaku dalam keadaan yang berbeza dan berubah-ubah.
“Pas kekal beristiqamah dengan perubahan ke arah yang lebih baik melalui islah dan tajdid.
“Pas menolak perubahan progresif, liberal, dan pragmatik yang berkonsepkan sekularisme,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Pas masih tak ‘move on’ PRK Ayer Kuning, anggap UMDAP pula ‘sucikan’ DAP