Pas masih tak ‘move on’ PRK Ayer Kuning, anggap UMDAP pula ‘sucikan’ DAP

Pas hari ini menganggap kemenangan UMNO bersama DAP yang digelarnya sebagai ‘UMDAP’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning lalu tidak bermakna memberikan kesan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sifat perubahan dalam arus politik menjadi tabii alam dan dinamik dalam politik, termasuk ke arah yang tidak istiqamah bersama Islam.

Menerusi artikelnya yang dimuatkan dalam Minda Presiden, Ahli Parlimen Marang berkenaan berkata, kejayaan calon UMDAP bersama Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Ayer Kuning ialah hasil kejayaan UMNO menubuhkan UMDAP yang “mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka”.

Ia termasuk, dakwa Abdul Hadi, beberapa tindakan mempersuci DAP dan PH dalam isu ternakan babi secara haram di kawasan majoriti penduduknya Islam dan dipimpin oleh Melayu Islam.

“Oleh sebab itu, Islam mendahulukan kemenangan kuasa politik berbanding umrah dan haji yang wajib mengikuti mazhab Ahli al-Sunnah yang dianut oleh Pas.

“Pas yang mengemukakan isu bahawa tanggungjawab mengundi itu adalah fardu ain, gagal dalam PRK itu,” kata Abdul Hadi.

Politik sekular, liberal

Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf Menteri itu turut berpendapat “sebahagian besar pengundi Melayu Islam” di Ayer Kuning menolak “Islam yang progresif dan liberal” serta “UMDAP yang mempersuci DAP”.

Jelas Abdul Hadi, “UMDAP yang mempersuci DAP” adalah bercanggah dengan nas al-Quran, hadis, ijmak, dan qias yang nyata serta bercanggah dengan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syariah kerana ternakan babi memudaratkan kesihatan, alam sekitar, dan nyawa.

“UMDAP membawa sebahagian daripada UMNO menjadikan matlamat menghalalkan cara (the end justifies the means) mengikut kaedah politik sekular dan cara politik liberal.

“Di samping itu, mereka berada dalam kerajaan demi memperoleh jawatan Menteri Besar, Exco, projek, dan kehakiman terpilih bagi menyelamatkan kawan dan sahabat dalam kes yang nyata buktinya seperti jenayah dan rasuah,” dakwa Abdul Hadi lagi.

Pas menjadi bahan ketawa orang ramai semasa kempen PRK Ayer Kuning lalu apabila sanggup meredah sungai mencari bukti kononnya wujud pencemaran dari ladang ternakan babi.

Pada PRK Ayer Kuning, 26 April lalu, calon BN Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, menang dengan dengan majoriti 5,006 undi selepas meraih 11,065 undi secara keseluruhan.

Calon PN dari Pas, Abdul Muhaimin Malek hanya mendapat 6,059 undi dengan menguasai satu-satunya pusat daerah mengundi (PDM) Tanjung Keramat.

Sementara itu, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS memperoleh 1,106 undi sekaligus hilang wang deposit.

Pas mengalami kekalahan yang mengaibkan apabila PSM menunjukkan kemajuan yang ketara dari segi undi kepada calon mereka dengan penambahan undi lebih dua kali ganda daripada 2.5 peratus kepada enam peratus.

Pada PRU15, PSM menerusi calon yang sama mendapat 586 undi tetapi pada PRK Ayer Kuning, parti itu turut meraih kelebihan di 18 daripada 20 PDM.

Bahkan, Pas menerima tamparan hebat apabila PSM berjaya mendahului PN dalam saingan di tiga PDM iaitu Banir Utara, Kampong Coldstream dan Ayer Kuning Selatan.

BACA JUGA Dilabel pembelot bangsa, dua MP DAP saman ADUN PN kerana memfitnah