Ini sebabnya Papagomo mohon maaf kepada KPN dan mahkamah, bayar kos RM5,000
Penyokong tegar Tun Dr Mahathir Mohamad, Papagomo hari ini mengemukakan permohonan maaf tanpa bersyarat kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain dan Mahkamah Tinggi.
Pemilik nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris itu membacakan pernyataan permohonan maaf di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Ia berhubung kenyataan individu berkenaan pada 14 Januari lalu dan penggunaan gambar imej KPN yang diubah suai pada 15 Januari lepas.
Kenyataan dan foto tersebut disiarkan Papagomo walaupun selepas perintah injunksi dikeluarkan mahkamah pada 31 Disember tahun lalu, yang menghalangnya daripada berbuat demikian.

Razarudin dan mahkamah kemudian menerima pernyataan maaf itu dengan syarat ia disiarkan di YouTube, Tiktok, X dan Telegram bermula hari ini dan tidak diturunkan sekurang-kurangnya tujuh hari.
Pempengaruh yang umum dikenali kerap memfitnah PMX itu juga dikehendaki memadamkan kenyataan dan gambar terbabit bermula hari ini serta diperintah membayar kos sebanyak RM5,000.
Fitnah dan kesat
Berikut penyataan maaf tersebut:
“Saya, Wan Muhamamd Azri bin Wan Deris, dengan suci hati tanpa apa apa syarat memohon maaf kepada mahkamah yang mulia ini, kepada KPN, Tan Sri Razarudin Husain diatas penggunaan perkataan berunsur fitnah dan khianat terhadap plaintif pada terbitan bertarikh 14 Januari 2025 dan penggunaan gambar KPN yang disunting pada 15 Januari 20225.
“Saya mengaku janji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan fitnah dan kesat terhadap KPN dan akan memadamkan kenyataan bertarikh 14 dan 15 Januari ini.”
Pada 24 Januari lalu, Razarudin memfailkan permohonan komital terhadap Papagomo dengan memohon supaya dia dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.
Ia ekoran kegagalan Papagomo mematuhi perintah injunksi pada 31 Disember tahun lalu dengan membuat hantaran terhadap KPN di aplikasi YouTube, TikTok, X serta akaun Telegram.
Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi melarangnya daripada menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.
Bekas anggota polis yang diberhentikan pada 2012 kerana kesalahan tatatertib itu juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan tersebut.
Razarudin pada 26 Disember tahun lalu memfailkan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi RM3 juta daripada Papagomo.
Saman tersebut difailkan berhubung kenyataan Papagomo yang melabelkan Razarudin sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perbicaraan kes saman itu ditetapkan pada 28 hingga Disember 2026 dan 11 hingga 15 Januari 2027.
BACA JUGA Rafidah dituntut bayar ganti rugi RM300,000, ini sebabnya Khalid failkan tuntutan