Rafidah dituntut bayar ganti rugi RM300,000, ini sebabnya Khalid failkan tuntutan

Buat permohonan maaf secara bertulis dan tarik balik pelbagai tuduhan termasuk isu pampasan dan status tanah bagi pembangunan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur.

Itu tuntutan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad terhadap pempengaruh pro pembangkang, Rafidah Ibrahim.

Dalam sidang media di ibu negara hari ini, Khalid turut menuntut ganti rugi berjumlah RM300,000 sebagai penyelesaian terhadap penyiaran pernyataan-pernyataan yang didakwa fitnah yang disiarkan di media sosial.

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan berkenaan berkata, surat tuntutan (LOD) telah diserahkan kepada Rafidah melalui alamat rumah sewanya.

“Saya saman dia bukan kerana dia nak perjuangkan hak rakyat, tetapi kerana dia fitnah saya dengan tuduhan-tuduhan yang tak ada kena mengena pun dengan isu yang sedang dibahaskan, seperti soal pampasan atau status tanah itu.

“Tak tahu macam mana dia melencong terus kepada tuduhan bahawa saya nak mansuhkan (status) rizab Melayu di seluruh kawasan Kampung Baru, bukan sekadar Kampung Sungai Baru.

“Ia merupakan satu keterlanjuran dan saya buat keputusan untuk saman dia,” tegasnya.

Suasana persekitaran Kampung Baru di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Rafidah menuduh bahawa Khalid berniat memansuhkan Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) serta mahu menghapuskan tanah rizab Melayu bukan sahaja di Kampung Sungai Baru, tetapi di seluruh Kampung Baru.

Menerusi LOD yang disediakan Tetuan Hisham Fauzi & Associates itu, Rafidah diberi tempoh selama 14 hari untuk memberi respons.

“Berdasarkan peruntukan perundangan terkini, pihak puan (Rafidah) selaku pemilik akaun TikTok tersebut adalah bertanggungjawab terhadap komen-komen negatif daripada pengguna lain terhadap anak guam kami kerana pihak puan membuka ruang atau platform yang mengundang komen-komen negatif.

“Kami diarahkan oleh anak guam bahawa pihak puan telah menyebabkan berita tidak benar dan bersifat fitnah tersebut dengan tersebarnya pernyataan yang dimuat naik di akaun TikTok itu tersebut ke seluruh Malaysia khasnya yang boleh diakses tanpa sebarang sekatan,” menurut LOD itu.

Rafidah sebelum ini tanpa menyebut mana-mana pihak, menganggap tindakan mahkamah sebagai cara untuk mendiamkan dirinya daripada bersuara tentang isu Kampung Sungai Baru.

Reaksi pelakon dan penyanyi berkenaan susulan hasrat Khalid pada 17 April lalu untuk memfailkan tuntutan atas tuduhan-tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab yang dikemukakan Rafidah.

Untuk rekod, Rafidah, 39, dikatakan sudah pun keluar dari kawasan itu dan berpindah ke tempat lain dan pada masa ini difahamkan mendiami rumah sewa.

Seorang penduduk Kampung Sungai Baru yang bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu berkata, kelantangan Rafidah lebih kepada tidak berpuas hati kerana menerima pampasan yang kecil.

BACA JUGA Dilabel pembelot bangsa, dua MP DAP saman ADUN PN kerana memfitnah