Masjid Mukim Batu dinamakan sempena Salahuddin Ayub
Parti Amanah Negara (AMANAH) berterima kasih dan menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menamakan sebuah masjid yang akan dibina di Rumah Belia MADANI di Mukim Batu, Kuala Lumpur dengan nama Masjid Salahuddin Al-Ayubi.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, jasa dan legasi yang Salahuddin Ayub tinggalkan tidak pernah padam walaupun sudah hampir dua tahun Allahyarham meninggal dunia.
“Sumbangan beliau dalam menurunkan kos sara hidup rakyat termasuk inisiatif di bawah Payung Rahmah akan dikenang sampai bila-bila.
“Perjuangan Allahyarham Salahuddin Ayub ini menunjukkan bahawa perjuangan Islam yang dibawa dengan konsep Rahmah dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira kaum dan agama.
“Agenda “mengenyangkan perut rakyat” sebahagian daripada ajaran Islam tanpa perlu melaungkan slogan retorik memperjuangkan Islam, namun membawa Islam dengan jalur yang keras,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Faiz menyeru supaya semua pihak menghayati perjuangan Allahyarham Salahuddin dalam memastikan setiap jasa dan sumbangannya dapat diteruskan.
“Semoga masjid yang dibina dan siap nanti dapat diimarahkan dan menjadi tempat untuk menyuburkan agenda kasih sayang dan “Rahmah” kepada masyarakat,” kata beliau lagi.

Semalam, Perdana Menteri menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, Kuala Lumpur di Padang Bola Sepak PPR Batu Muda, Mukim Batu, Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya, Anwar menyatakan nama Salahuddin dipilih sebagai kenangan beliau kepada bekas Ahli Parlimen Pulai berkenaan yang juga sahabat Perdana Menteri.
BACA JUGA Hadi tetap anggap PN berjaya di Ayer Kuning, ulangi gelar DAP anti-Islam