Perpaduan Nasional atau Perpaduan Melayu dari perspektif Fadzil Noor
OLEH FAIZ FADZIL
Mantan Presiden Pas, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor yang dikenali sebagai tokoh moderate Pas, pada tahun 2001 telah mencadangkan ‘perpaduan Nasional’ sebagai respon kepada cadangan ‘perpaduan Melayu’ oleh mantan Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas pemikiran Fadzil Noor ketika itu adalah melihat kepada maslahah negara mengatasi kaum dan tidak menjadikan perkauman sebagai alat politik.
Perjuangan Islam Fadzil Noor kekal kukuh dan konsisten, dan atas dasar kepentingan negara, beliau membawa satu agenda pentadbiran negara berdasarkan beberapa prinsip Islam termasuk masyarakat madani, berkebajikan, adil dan pentadbiran dinamik yang digagaskan dalam dokumen ‘Memorandum Pas Kepada Rakyat Malaysia-Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21’.
Kompas politik Pas kini berubah dan beralih kepada permainan politik perkauman dengan menjadikan pemahaman agama yang sempit sebagai alat bagi mengapi-apikan kebencian kaum.
Bagi mencapai matlamat ini, Pas berjuang atas fitnah dan adu domba dan bukan lagi hujah ilmu dan fakta.
Terbaru ketika kempen di PRK Ayer Kuning, Pas memainkan isu ladang babi bagi menunjukkan ancaman kaum Cina kepada orang Melayu sedangkan fakta menunjukkan tiada pencemaran sisa ladang babi berlaku.
Begitu juga isu penangguhan haji kerana pilihan raya, yang mana fatwa politik ini bukan berasaskan ilmu Islam sebenar.
Hujah dan kempen menunggang ‘perpaduan Melayu’ ini akan berkumandang apabila sesuatu parti mula menjadi lemah.
Taktik inilah yang digunakan Tun Mahathir dahulu ketika era Reformasi apabila UMNO mula hilang sokongan orang Melayu dalam PRU ke-10 (1999) dan gabungan Barisan Alternatif (Pas, PKR, DAP) mula mendapat sokongan rakyat Malaysia.
Kini, taktik yang sama digunakan semula Pas bersama Bersatu dalam PN yang hanya berkempen dan berhujah atas permainan politik Melayu.
Legasi perjuangan Fadzil Noor berasaskan perpaduan Nasional tidak lagi diperjuangkan Pas.
Kemenangan calon BN mewakili kerajaan Perpaduan di PRK Ayer Kuning menunjukkan formula gabungan Perpaduan berasaskan perpaduan Nasional gabungan utama PH dan BN (Semenanjung Malaysia) sebagai satu formula politik baharu yang diterima rakyat Malaysia.
Politik perkauman yang dibawa PN sudah ditolak rakyat Malaysia termasuk orang Melayu kerana orang Melayu sedar bahawa ia hanya alat politik yang digunakan apabila parti menjadi lemah.
Perpaduan Nasional mengatasi perpaduan Melayu.
Hakikatnya, bagi mengangkat martabat Melayu, kekuatan ekonomi negara sangat penting dan pemulihan ekonomi kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula menunjukkan kesan positif.
Atas keyakinan ini, orang Melayu mula menyokong kerajaan Perpaduan dan PN sudah mula ditolak orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Ini dibuktikan dalam PRK Dun Ayer Kuning yang mana hampir semua PDM majoriti Melayu dimenangi BN.
Agenda perpaduan Nasional yang dibawa Fadzil Noor akan terus diperjuangkan AMANAH.
Inilah asas utama AMANAH ditubuhkan dan pendekatan wasatiah (moderate) yang dibawa Almarhum kini menjadi obor perjuangan AMANAH.
Walaupun pelbagai fitnah dilemparkan terhadap AMANAH, namun legasi perjuangan tokoh umat ini akan terus kekal menjadi kompas perjuangan Islam yang dibawa AMANAH berasaskan prinsip ‘rahmat untuk semua’.
BACA JUGA Pergolakan Bersatu Perak makin meruncing, ada akuan berkanun tolak kepimpinan Peja