Rafidah keliling Kg Sungai Baru dakwa ‘agama dihina, ulama kita dicerca’
Selepas bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menuntut Rafidah Ibrahim membuat permohonan maaf secara bertulis dan menarik balik tuduhan, selebriti pembangkang itu dilihat berkongsikan video yang antara lain mendakwa agama serta ulama dihina dan dicerca.
Menerusi rakaman dimuatnaik di TikTok sebentar tadi, bekas penduduk Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur berkenaan dilihat berpakaian serba hitam ‘berkempen’ di kawasan tersebut menggunakan pembesar suara.
“Di sini bermula kebangkitan bangsa Melayu.
“Penduduk Kampung Sungai Baru, bertahanlah. Pertahankan hak kamu. Pertahankan maruah kamu.
“Kita bakal mencipta sejarah. Biar ini kampung Melayu yang terakhir yang mereka ganggu.
“Perjuangan ini adalah untuk anak cucu cicit kita. Maka bersabarlah,” katanya bersuara lantang dalam rakaman video berdurasi satu minit empat saat itu.
Pelakon dan penyanyi tersebut turut mendakwa Islam dihina manakala ulama pula kononnya dicerca tanpa menyebut siapa yang menghina dan ulama mana yang dicerca.
“Agama kita dihina. Ulama kita dicerca. Dan tanah ini simbol kuasa orang Melayu pun mereka nak rampas.
“Jangan kita ulangi kesilapan Temasek.
“Dengan lafaz La’ilaha’illallah, Muhammadur Rasulullah, orang Islam, orang Melayu, bangkit!” katanya.
Rakaman video itu kemudiannya diakhiri dengan poster Himpunan Melayu Berdaulat bertemakan pakaian putih di ibu negara pada 24 Mei bermula jam 2.30 petang.
BACA JUGA Rafidah dituntut bayar ganti rugi RM300,000, ini sebabnya Khalid failkan tuntutan