Apa wajib PBT tubuh sebelum sambutan Hari Kebangsaan ini?
Unit Integriti (UI) wajib ditubuhkan oleh kesemua 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selewat-lewatnya 31 Ogos ini sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh memperkukuh integriti pentadbiran.
Menerusi kenyataan hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa, semua pegawai penghubung (LO) di PBT kini dikehendaki melapor terus kepada UI di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri dan bukan lagi kepada yang dipertua sebagai langkah memperkemas struktur pelaporan.
“Pendekatan ini bertujuan mengukuhkan autonomi pelaporan serta meningkatkan ketelusan urus tadbir integriti di peringkat negeri,” menurut kenyataan di laman rasmi Facebook SPRM.
Menurut SPRM, perkara itu merupakan antara keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
Turut ditekankan keperluan pematuhan terhadap Laporan SPRM (LSPRM), dengan Pejabat KSN akan mengeluarkan surat peringatan kepada kementerian dan kerajaan negeri yang masih belum mengambil tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan bagi 2017 hingga 2021.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, turut mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyemak semula beberapa bahagian penting dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM).
Ia termasuk perkara berkaitan penerimaan tajaan pihak luar untuk program kerjasama pintar, sebagai langkah penambahbaikan dasar agar lebih telus dan berintegriti.
Dalam masa sama, Kementerian Kewangan diminta mempertimbangkan garis panduan “Do’s and Don’ts” Pelaksanaan Perolehan yang disediakan oleh Urus Setia JTK Peringkat Nasional untuk dijadikan rujukan rasmi, digubal sebagai pekeliling dan diedarkan ke semua agensi untuk diguna pakai secara menyeluruh.
Selain itu, KSN juga mengingatkan semua ketua setiausaha (KSU) agar segera melaporkan sebarang kes rasuah yang diketahui di kementerian masing-masing.
Langkah tersebut, menurut SPRM, merupakan satu daripada indikator penting dalam Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP), sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh budaya antirasuah.
Untuk rekod, terdapat sebanyak 155 PBT di seluruh negara setakat ini iaitu 20 buah Majlis/Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran (40), Majlis Daerah (91) dan empat buah Pihak Berkuasa Tempatan Khas.
BACA JUGA Ekonomi MADANI bukan tin kosong, pasaran buruh negara terkuat dalam tempoh sedekad