Ekonomi MADANI bukan tin kosong, pasaran buruh negara terkuat dalam tempoh sedekad

AMANAH menyifatkan sambutan Hari Pekerja tahun ini bagi rakyat Malaysia penuh bermakna lantaran disokong dengan pasaran buruh yang kukuh di bawah Ekonomi MADANI.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kadar gaji minimum tahun ini telah dinaikkan kepada RM1,700 bagi membantu para pekerja menangani kos sara hidup.

Menurutnya, sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang akan memanfaatkan 50,000 pekerja.

“Bagi penjawat awam, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah satu penghargaan kerajaan MADANI kepada kumpulan tulang belakang kerajaan ini dalam meningkatkan taraf hidup.

“Inisiatif-inisiatif ini menambah kekuatan pasaran buruh negara yang pada Februari 2025, menyaksikan kadar pengangguran paling rendah dalam hampir 10 tahun,” ujarnya menerusi perutusan sempena Hari Pekerja hari ini.

Muhammad Faiz Fadzil

Faiz berkata, inisiatif-inisiatif kerajaan ini adalah selaras dengan prestasi Ekonomi MADANI pada tahun lalu di mana pertumbuhan ekonomi telah melepasi jangkaan pakar untuk empat suku tahun berturut-turut.

“Ini menunjukkan bahawa Ekonomi MADANI bukan tin kosong, dan berjaya mencapai pasaran buruh terkuat dalam tempoh sedekad ini.

“Ia juga selaras dengan aliran masuk bersih pelaburan langsung asing yang melonjak 17% pada tahun 2024 ke RM47.4 bilion, yang seterusnya mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia,” jelasnya.

Gaji penengah

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkenaan juga berkata, faktor-faktor terbabit telah menyumbang kepada peningkatan gaji penengah tahunan bagi sektor formal sebanyak 6% pada tahun lalu.

“Setakat Disember 2024, gaji penengah negara telah mencecah RM3,045 sebulan.

“Malah, paras gaji penengah di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang adalah lebih tinggi daripada RM3,045,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, malangnya, gaji penengah di sesetengah negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis berada pada paras RM2,100 dan ke bawah.

“Situasi paling buruk adalah di Kelantan, di mana 50% rakyat Kelantan bergaji bawah RM1,664 sebulan.

“Namun, saya percaya Ekonomi MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengukuhkan ekonomi tempatan di negeri-negeri tersebut dan meningkatkan pendapatan penduduk di sana dalam jangka masa yang lebih panjang,” katanya.

Beliau menjelaskan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025 telah mengumumkan beberapa inisiatif termasuk usaha memupuk “perkumpulan ekonomi” mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh diperbaharui di Perlis dan industri kimia di Terengganu.

Menurutnya, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa juga ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Ini menunjukkan Ekonomi MADANI berusaha meningkatkan pendapatan semua rakyat Malaysia tanpa diskriminasi politik dan kaum,” ujarnya.

Dalam masa sama, Faiz berkata, untuk memastikan agenda Ekonomi MADANI tercapai, golongan pekerja juga harus memainkan peranan bersama dengan menggunakan peluang yang ada untuk meningkatkan kemahiran mereka (upskilling).

“Anak-anak muda pula digesa menceburi bidang “emerging technologies” seperti kecerdasan buatan (AI) selaras dengan keperluan masa hadapan.

“Sepertimana budaya kerja yang saya tekankan di LKIM iaitu cekap, amanah, peduli (CAP), ianya mampu meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan golongan pekerja yang merupakan golongan yang sangat penting dalam pembangunan negara,” tambah beliau lagi.

BACA JUGA ‘Pekerja Kesuma Bangsa’: PM bakal lancar inisiatif Kad Pekerja MADANI