Apa yang dikongsi Mujahid dengan delegasi dari Pejabat Peguam Negara Bangsa Moro?
Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan beliau telah diberi kesempatan untuk menyampaikan sesi perkongsian ilmu bersama delegasi dari Pejabat Peguam Negara Bangsa Moro (BAGO).
Bekas Ahli Parlimen Parit Buntar berkenaan membentangkan tajuk “Syariah Law and Islamic Affairs in Malaysia” dalam majlis anjuran Institut Antarabangsa Polisi dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM) itu.
Menurutnya, pembentangan tersebut merangkumi pengalaman pentadbiran, cabaran perundangan, serta pendekatan Malaysia dalam melestarikan undang-undang syariah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Sesi ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif INPUMA, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff yang memainkan peranan penting dalam membina jalinan kerjasama antara Malaysia dan komuniti Islam serantau.

“Pertemuan ini bukan sekadar pertukaran ilmu, tetapi simbol perpaduan dan harapan bahawa sistem pentadbiran Islam yang adil, inklusif dan progresif dapat terus berkembang merentas sempadan,” kata Mujahid lagi yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, Pejabat Peguam Negara Bangsa Moro (BAGO) berperanan sebagai penasihat undang-undang utama dalam Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao (BARMM) iaitu sebuah wilayah autonomi di selatan Filipina yang majoriti penduduknya beragama Islam.
BAGO melaksanakan fungsi seperti pejabat Peguam Negara (Attorney General) dengan menyediakan khidmat nasihat undang-undang kepada Ketua Menteri Bangsamoro dan agensi-agensi kerajaan Bangsamoro.
BACA JUGA MP Pulai selamat jalani pembedahan buang hempedu