MP Pulai selamat jalani pembedahan buang hempedu
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, kini berada dalam keadaan stabil selepas selamat menjalani pembedahan membuang hempedu di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan Naib Pengerusi AMANAH negeri berkenaan.
“AMANAH Johor bersyukur kerana keadaan Suhaizan Kaiat semakin baik selepas menjalani prosedur pembedahan membuang hempedu.
“Kami juga berterima kasih kepada semua yang memainkan peranan termasuk pasukan perubatan, pegawai Parlimen Pulai, petugas AMANAH Johor, ketua masyarakat dan individu perseorangan yang menjaga serta menguruskan keselamatan dan kesihatan Suhaizan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa sama, AMANAH Johor turut menghargai keprihatinan rakan ahli Parlimen itu termasuk Konsul Jeneral Republik Singapura, Ng Kuan Khai; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong serta beberapa pemimpin setempat lain.
Malam kelmarin, Suhaizan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta
akibat jangkitan pada usus dan paras darah putih yang tinggi menyebabkan paras oksigennya rendah.
BACA JUGA Kekalahan Pas di Ayer Kuning: Retorik bodoh, politik dangkal dan jatuhnya hegemoni Hadi