Cemas diratah api, pemandu tinggalkan kereta, Netanyahu umum darurat negara
Israel sedang cemas diratah api besar apabila kebakaran hutan dahsyat yang merebak dengan pantas memaksa Benjamin Netanyahu semalam mengisytiharkan keadaan sebagai darurat negara.
Menerusi video dikongsi Al Jazeera, kelihatan api menjulang dengan kepulan asap tebal naik hingga ke lebuh raya berhampiran Baitulmaqdis.
“Sebuah lebuh raya utama di Israel ditutup selepas kebakaran hutan menyambarnya dengan api dan asap memaksa pemandu dan penumpang meninggalkan kenderaan mereka.
“Panas dan angin yang melampau telah membantu merebakkan api, memaksa beberapa buah kampung dipindahkan,” menurut Al Jazeera.
Kebakaran itu melanda kawasan hutan berhampiran jalan utama antara Latrun dan Bet Shemesh, dengan helikopter berusaha untuk memadamkan api.

Sementara itu, Ketua Bomba Eyal Caspi menyifatkan bencana itu sebagai kebakaran terbesar di negara haram tersebut dalam tempoh 10 tahun.
“Pesawat kami tidak boleh berbuat apa-apa sekarang disebabkan keadaan cuaca. Matlamat kami adalah untuk menyelamatkan nyawa.
“Kita nampaknya menghadapi kebakaran terbesar di Israel dalam satu dekad,” katanya pada sidang media, lapor AFP.
Polis sudah menutup lebuh raya utama Baitulmaqdis-Tel Aviv dan memindahkan penduduk di sepanjang laluan itu.
Media Israel melaporkan komuniti yang berada kira-kira 30 kilometer di barat Baitulmaqdis telah dipindahkan, dengan imej memaparkan anggota bomba sedang bertungkus-lumus melawan api yang marak.
Dalam masa sama, Netanyahu memberi amaran bahawa angin barat boleh mendorong api dengan mudah menghala ke arah pinggir Baitulmaqdis, malah ke dalam bandar itu sendiri.
Kebakaran hutan yang menakutkan di Israel itu berlaku ketika lebih 52,000 rakyat Palestin terkorban manakala lebih 108,000 orang telah cedera akibat serangan udara dan darat yang berterusan di Gaza.
Agensi penyelamat Magen David Adom (MDA) Israel melaporkan, pihaknya setakat ini memberikan rawatan kepada 23 orang, 13 daripadanya dibawa ke hospital.
Menurut MDA, dipetik AFP, majoriti mangsa terbabit mengalami lemas dan melecur termasuk dua wanita hamil dan dua bayi di bawah umur setahun.
BACA JUGA Apa wajib PBT tubuh sebelum sambutan Hari Kebangsaan ini?