‘Pekerja Kesuma Bangsa’: PM bakal lancar inisiatif Kad Pekerja MADANI
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanat khas sempena Hari Pekerja hari ini, selain dijadual melancarkan inisiatif Kad Pekerja MADANI dan Aplikasi Telefon Pintar MyFutureJobs.
Kekal bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ seperti tahun lalu, sambutan ini sebagai menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan penting pekerja sebagai tulang belakang negara serta pelaksana utama aspirasi kemampanan, keadilan dan kesejahteraan.
Lebih 10,000 warga kerja dari sektor awam dan swasta dijangka memeriahkan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri di Axiata Arena, Bukit Jalil, pagi ini.

Perdana Menteri juga akan menyempurnakan penyampaian Anugerah Hari Pekerja bagi meraikan kecemerlangan pekerja, majikan, kesatuan serta pihak media.
Ia termasuk dua kategori baharu yang diperkenalkan Kementerian Sumber Manusia iaitu Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Pengurusan Atasan) dan Anugerah Media Terbaik (Agensi).
Pelbagai program turut diadakan sempena Hari Pekerja tahun ini, antaranya sesi ceramah ringkas, Larian Hari Pekerja, khutbah Jumaat khas dan Forum Perdana Ehwal Islam.
Karnival Kerjaya yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan juga diadakan sejak 28 April lalu.
BACA JUGA Masjid Mukim Batu dinamakan sempena Salahuddin Ayub