‘Pas yang sucikan DAP, membuak cemburu bila ada cuba berkawan dengan jandanya’

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menempelak Pas dengan menyifatkan parti pembangkang itu sebenarnya yang telah ‘mensucikan’ DAP dengan ‘menikahi’ akan DAP beberapa kali sebelum ini.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Khaled mengimbas kembali sejarah kerjasama politik Pas dengan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina sejak awal tahun 1980-an.

“Pas rangkul erat DAP melalui kerjasama politik CCC (Chinese Consultative Committee), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Masa itu semuanya halal dan diharuskan.

“Pas sepertinya tidak boleh “move on” setelah berpisah dengan DAP.

“Demikian menebal cinta Pas pada DAP sehingga membuak cemburunya pada siapa jua yang cuba berkawan dengan jandanya,” kata Khaled secara sinis.

Reaksi beliau itu susulan lemparan tuduhan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kemenangan UMNO bersama DAP yang digelar sebagai ‘UMDAP’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning lalu.

Politik muafakat

Abdul Hadi menerusi Minda Presiden Pas berkata, kejayaan “calon UMDAP” bersama Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Ayer Kuning ialah hasil kejayaan UMNO menubuhkan UMDAP yang “mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka”.

Mengulas kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK Ayer Kuning, Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, pengundi yang telah memilih BN jelas mahukan Malaysia yang pertengahan, politik muafakat yang progresif dan kerajaan yang bertanggungjawab.

“Mereka mengundi politik yang rasional dan berhikmah dan menolak penunggang agama.

“Mereka menolak fatwa politik bahawa haji dan umrah boleh ditangguhkan demi sebuah pilihan raya.

“Bila kalah, Pas seperti biasa akan memangsakan UMNO dan DAP. Setakat itu sahaja kemampuan pemikiran mereka,” kata Khaled.

Abdul Hadi Awang

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, bagi UMNO, politik masa depan Malaysia adalah tentang keberanian mengambil risiko, apalagi dalam lanskap politik yang sangat disruptif seperti sekarang.

Justeru, jelasnya, dalam membangun persefahaman politik masa depan, UMNO mesti meneroka segala kemungkinan.

“Termasuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan ia tidak merugikan bangsa Melayu dan Islam, menafikan hak masyarakat majmuk yang lain serta merencatkan cita-cita menjadikan Malaysia negara terbaik,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan PRK Ayer Kuning bukan sekadar kejayaan politik untuk UMNO, bahkan juga adalah kejayaan moral untuk Barisan Nasional (BN).

“Ia proses ‘mensucikan’ UMNO dari pelbagai kelemahan lepas untuk menjadi lebih baik. Tahniah Barisan Nasional,” kata Khaled lagi.

BACA JUGA Rafidah keliling Kg Sungai Baru dakwa ‘agama dihina, ulama kita dicerca’