‘Andainya DAP tidak bersama PH, Pas sudah pasti terjenguk nak meminang’

Pas disifatkan seperti lelaki gila talak yang tergila-gila kepada bekas isterinya, kata Naib Pengerusi 1 Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed (gambar atas).

Menurutnya, hal itu dapat dilihat pada tindakan Pas memujuk rayu Umno agar sudi bersama dengan mereka kembali selain mengutuk dan mengecam DAP.

“… sedangkan bekas isterinya bukan sahaja tidak sudi untuk kembali kepada Pas, bahkan sedang berbahagia dengan pasangannya yang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pelbagai “kisah duka lara politik” dilakukan Pas termasuk mencaci dan mengejek UMNO kerana enggan kembali bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.

“Episod segala yang UMNO buat bersama pasangannya bukan sahaja dicemburui, tapi dikutuk dan dihentam.

“Episod bukan sahaja mengkafirkan orang Islam, bahkan orang bukan Islam pun turut dikafirkan kerana menolak Pas,” tempelaknya.

Che Ibrahim berkata, sebelum ini Pas melaksanakan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP.

“DAP yang dulunya antara rakan tahaluf sejati Pas, kini bertukar ibarat musyrikin Mekah atau Yahudi Madinah kepada Rasulullah SAW.

“Tapi andainya hari ini DAP tidak bersama PH atau meninggalkan Kerajaan Madani, esoknya sudah pasti rombongan meminang dari Pas akan terjenguk-jenguk di tangga DAP,” kata Che Ibrahim lagi.

BACA JUGA Bersatu juga akhirnya tidak percayakan Pas