Angan-angan Bersatu ganti UMNO dah berakhir, Puad cadang dua pilihan
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan hasrat awal Bersatu untuk menggantikan UMNO sudah berakhir.
Beliau berkata demikian mengulas pengakuan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa trend pengundian dan sokongan orang Melayu terhadap parti itu hampir tepu.
“Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mengakui sokongan orang Melayu terhadap Bersatu sudah tepu. Makin lama makin merosot. Memang benar.
“Bersatu sukar untuk bersaing dengan UMNO dan Pas.
“Dua parti itu pilihan utama orang Melayu. Bersatu tidak boleh bersaing dengan UMNO dan Pas,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang dalam wawancara bersama FMT mengakui bimbang jika PN tiada strategi lebih anjal untuk memenangi hati dan kepercayaan golongan pertengahan khususnya pengundi bukan Melayu.
Wan Fayhsal berkata, PN menang 74 kerusi Parlimen pada PRU15 sekaligus dianggapnya sebagai sokongan orang Melayu dan Bumiputera tetapi kini berkurangan kepada 68 kerusi selepas enam wakil rakyat Bersatu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berpendapat adalah lebih baik Bersatu bersaing dengan PKR.
“Justeru, jadikan Bersatu parti berbilang kaum macam PKR. Bersatu perlu “lain dari yang lain”.
“Satu lagi pilihan terbaik ialah bubar parti Bersatu.
“Lebih baik cari warna dan cogankata lain supaya tidak nampak meniru UMNO. Barulah “lain dari yang lain”,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu lagi.
Untuk rekod, PN hanya menang tiga kawasan daripada 11 PRK yang diadakan selepas PRU15 iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman serta DUN Sungai Bakap.
Tujuh kawasan lagi dikuasai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) manakala satu dimiliki Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Bahkan, BN berjaya merampas DUN Nenggiri yang dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
BACA JUGA ‘Andainya DAP tidak bersama PH, Pas sudah pasti terjenguk nak meminang’