Anwar terima anugerah tertinggi ‘Order of Independence’ dari Presiden Kosovo
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianugerahkan penghormatan tertinggi Kosovo iaitu ‘Order of Independence’.
Anugerah itu diberikan ketika lawatan rasmi Presiden Republik Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu ke Putrajaya hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, ia adalah penghormatan awam tertinggi kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan negara berkenaan.
Penganugerahan itu mengiktiraf sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk pembangunan kenegaraan dan pasca kemerdekaan Kosovo, serta komitmen teguh Perdana Menteri mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Antara penerima Order yang lalu ialah Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (2014); George W. Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat (2018); Micheline Calmy-Rey, bekas Presiden Switzerland (2022); dan mendiang Anne Marie Lizin, bekas Presiden Senat Belgium (2024).
“Presiden Osmani juga akan menganugerahkan Darjah Kemerdekaan secara ‘anumerta’ kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia, sebagai mengiktiraf kepimpinannya semasa tempoh penting dalam sejarah Kosovo,” kata Pejabat PMO.
Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Oktober 2008 sekali gus tampil sebagai negara Asia pertama yang berbuat demikian.
Hubungan diplomatik pula diwujudkan secara rasmi pada 18 Mac 2011.
Pada 2024, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo mencecah RM28.55 juta (AS$6 juta) dengan eksport negara ke republik itu sebanyak RM25.92 juta (AS$5.5 juta) dan import RM2.63 juta (AS$550,000).
Eksport utama Malaysia termasuk minyak sawit,produk elektrik dan elektronik serta barangan perkilangan manakala import dari Kosovo kebanyakannya terdiri daripada bahan mentah dan batu permata.
BACA JUGA Malaysia kini nombor 1 dunia dalam data terbuka! Ambil tahu apa maknanya untuk rakyat biasa