Selepas kalah PRK Hadi Awang lepas geram dengan dalilnya sendiri

OLEH AHMAD MURSI

Baca tulisan Haji Hadi, dengar pula ucapan PMX di Majlis Tilawah terus rasa keliru.

Di satu sisi, tokoh yang dipanggil “ulama”, tapi tulisannya penuh marah dan emosi kerana kalah di Ayer Kuning setelah babi ditunggang.

Di satu sisi lagi, pemimpin negara yang sering dilabel buruk oleh penyokong Pas, tapi ucapan nasihatnya penuh hikmah, tenang dan menjaga akhlak.

Bila Pas kalah, Haji Hadi segera tuduh pengundi “tak istiqamah dengan Islam”.
Waktu Pas-DAP satu kem, sibuk juga Haji Hadi ‘mempersuci’ DAP, berpelukan, genggam tangan erat-erat macam tak mahu lepas. Semuanya ada rekod.

Sekarang, Haji Hadi tafsir agama secara sempit, mengelirukan, disulami dengan ayat-ayat al-Quran untuk menyalahkan DAP dan abaikan sekutunya, Gerakan.

Haji Hadi salahkan DAP perihal ternakan babi di Perak. Dia lupa, selama hampir dua tahun Razman ‘mempersucikan’ ternakan babi dan turut meluluskan permit-permit semasa kerajaan tebuk atap di Perak.

Pas tunggang isu ini untuk cetuskan api perkauman walaupun penternak babi dah berada di situ sejak 50 tahun dan penempatan baru pula dibina semakin hampir ke situ saban tahun

Tafsiran agama diselewengkan

Tidak dinafikan ulama kontemporari ada berpandangan, mengundi boleh menjadi wajib dalam sesetengah keadaan.

Tetapi mereka tidaklah sehingga menjadikannya ‘fardu ain’ secara mutlak seperti Hj Hadi, apatah lagi tiada dalil qat‘ie mewajibkan undi Pas seperti cuba digambarkan.

Lebih banyak hal mudarat berlaku zaman Pas tebuk atap berbanding banyak maslahat ummah dicapai di zaman MADANI kini.

Bila Haji Hadi kata, Pas boleh berpakat dengan bukan Islam dan lantik mereka dalam hal yang tidak berkait dengan ‘dasar Islam’ atau wizarah al-tanfiz, dia gunakan istilah itu dengan tidak sepenuhnya benar.

Ulama klasik seperti al-Mawardi perkenal istilah wizarah al-tanfiz (pelaksana) dan wizarah al-tafwidh (pembuat dasar), bukan semata-mata berkait ‘dasar Islam’ tetapi dalam perkara yang lebih luas, sesuai dengan kerajaan Abbasiyah ketika itu yang dipimpin oleh umat Islam secara mutlak.

Ironinya, zaman Haji Hadi tebuk atap, ramai menteri bukan Islam turut dilantik: Wee Ka Siong, Saravanan, Maximus Ongkili, Baru Bian, dll.

Mereka bukan pelaksana teknikal (al-tanfiz), mereka menteri penuh yang buat dasar bersama dalam Kabinet, gubal dasar kementerian masing-masing dan buat rang undang-undang.

Jadi, hentikanlah menyelewengkan istilah fiqh klasik untuk menipu umat Islam yang tidak mendalami bidang itu semata-mata kerana politik sempit, padahal konteks realiti negara telah berubah dengan wujudnya perlembagaan dan sistem demokrasi dalam masyarakat majmuk.

Begitu juga Haji Hadi menolak DAP (tetapi menerima Gerakan dan MCA) kononnya berpandukan ayat 9, Surah al-Mumtahanah (larangan kerjasama).

Hairannya, dia mengabaikan ayat 8 sebelumnya bahawa Allah tidak melarang kita berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang prasyaratnya: (1) tidak memerangi kamu kerana agama, (2) tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman.
Tiada parti politik di Malaysia yang perangi umat Islam kerana agama atau halau dari tanah air — sama ada DAP, MCA atau Gerakan.

Seharusnya Haji Hadi perlu lebih jujur dengan ilmunya tanpa membuat tafsiran agama yang terpilih dengan mengambil satu ayat dan meninggalkan ayat lain.

Haji Hadi kerap menuduh UMNO itu ‘sekular’, dalam masa sama Pas masih bermimpi untuk berpakat dengan UMNO.

Tuduhan dan label seperti ini kepada lawan politik dah berlaku sejak 40 tahun Haji Hadi terlibat dengan politik.

Jika Haji Hadi katakan UMNO duduk dalam kerajaan demi mengejar jawatan dan projek, mungkin dia lupa jawatan duta khas bertaraf menteri dan berpencen dengan elaun besar yang dia terima waktu tebuk atap, dalam keadaan sedar dia tak mungkin dapat laksanakan tugas itu.

Haji Hadi juga membawa nada takfiri halus (yang sinonim dengan kaedah politik Khawarij), apabila menganggap penyokong PH/UMNO tidak faham Islam, bertujuan menghina umat Islam yang tidak sehaluan dengan Pas.

Pemikir-pemikir Islam telah banyak ingatkan, takfir politik yang anggap ‘lawan politik tidak benar di sisi Islam’ sangat bahaya dan menjadi pemecah-belah perpaduan umat Islam.

BACA JUGA Hadi tetap anggap PN berjaya di Ayer Kuning, ulangi gelar DAP anti-Islam