Subsidi dah turun, bagaimana harga kawalan telur ayam? Ini penjelasan KPDN

Harga kawalan telur ayam masih lagi sama walaupun kerajaan sudah mengurangkan subsidi sebanyak lima sen untuk sebiji telur.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, peniaga bertanggungjawab menjual telur pada harga sedia ada memandangkan apa yang berlaku adalah perubahan struktur subsidi bagi telur gred A, B dan C sahaja.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, dilapor berkata dalam tempoh tiga bulan ini, subsidi kerajaan kepada pengusaha telur kurang lima sen sebiji, tetapi harga kawalan masih lagi sama.

“Pengusaha telur tidak boleh menaikkan harga telur sesuka hati memandangkan pengurangan subsidi ini juga adalah persetujuan bersama daripada pihak industri sendiri.

“Jadi, apa yang berlaku selepas 1 Ogos ini ialah subsidi akan dihapuskan sepenuhnya dan harga akan diapungkan,” katanya, dipetik BH.

Azman berkata, selepas subsidi dihapuskan mungkin akan berlaku perubahan harga, namun diharapkan perubahan harga itu adalah positif seperti mana yang dilaksanakan pada harga ayam.

“Jadi, sekiranya ada pihak yang menaikkan harga atas alasan subsidi dihapuskan lima sen, boleh laporkan kepada pihak KPDN,” kata beliau lagi.

Kelmarin, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen bermula 1 Mei dan seterusnya ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.

Menurut KPKM, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.

BACA JUGA Bersatu juga akhirnya tidak percayakan Pas