Akhirnya kereta api terus dari KL-Bangkok akan dihidupkan semula

Malaysia dan Thailand mencapai kata sepakat untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api terus dari Kuala Lumpur ke Bangkok tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dan State Railway of Thailand (SRT) telah diberikan tempoh tiga bulan untuk membuat persiapan awal bagi memulakan operasi perkhidmatan Kuala Lumpur-Bangkok.

Lebih menarik, perkhidmatan kereta api terus ini dapat dilaksanakan dengan segera kerana ia menggunakan landasan kereta api sedia ada yang menghubungkan Bangkok – Padang Besar – Butterworth – Kuala Lumpur.

“Ini tidak memerlukan trek baharu tetapi memerlukan koordinasi, pemasaran, serta penjualan tiket secara kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya memetik Bernama selepas mengakhiri lawatan kerja sehari ke Thailand semalam.

Sementara itu, Anthony memaklumkan bahawa Thailand telah mencadangkan untuk melakukan sambungan perkhidmatan kereta api dari Sungai Golok ke Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Beliau menyifatkan cadangan ini sebagai langkah positif yang berpotensi meningkatkan ekonomi dan pendapatan penduduk setempat.

Tetapi menurutnya, kerajaan memerlukan masa untuk membuat persediaan bagi menghidupkan semula landasan yang disebutkan.

BACA JUGA Saifuddin saman pengguna TikTok kerana memfitnah