Dr Dzulkefly bersuara, tak halang buat protes tapi harap faham perjuangan KKM
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak akan menghalang pengamal perubatan am (GP) swasta yang mahu berarak ke Pejabat Perdana Menteri, Selasa ini, bagi membantah dasar mewajibkan harga ubat-ubatan dipamerkan.
Pun begitu beliau berharap agar Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan GP memahami apa yang sedang diperjuangkan oleh kementeriannya untuk semua pengamal perubatan dalam negara.
“MMA dan GP merancang untuk berhimpun, itu adalah hak demokratik mereka. Saya tidak akan menghalang, tetapi secara jujur saya mahu mereka memahami apa yang diperjuangkan oleh kementerian dan saya sendiri untuk pihak mereka.
“Saya yakin mereka akan melakukannya secara beradab dan penuh hormat, malah saya bersedia menerima sebarang memorandum yang ingin disampaikan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program ‘Kembara Tolak Ubat Tidak Sah’ hari ini.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya berharap kumpulan GP memahami usaha berterusan kementerian, khususnya dalam menyemak semula struktur fi perundingan iaitu isu yang diperjuangkannya sejak penggal pertama beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan dari 2018 hingga 2020.
“Anda boleh teruskan perhimpunan itu, tetapi perlu diingat bahawa saya, sebagai menteri, bekerja untuk anda sejak penggal pertama lagi dan masih komited untuk menyelesaikannya.
“Komitmen terhadap pelabelan harga ubat itu seharusnya datang daripada pihak anda. Kita faham keperluan orang ramai dan pengguna yang mahu ketelusan dalam hal ini,” katanya.
Bermula 1 Mei, kerajaan mewajibkan pelabelan harga ubat-ubatan di semua klinik swasta dan farmasi komuniti.
Langkah itu bertujuan memastikan orang ramai boleh membuat pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membanding dan memilih harga terbaik dalam menguruskan perbelanjaan ubat-ubatan mereka.
BACA JUGA Rafizi tenang ulas isu semasa di Facebook di sebalik dakwaan letak jawatan