Adakah tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta terhadap Najib akan digugurkan?
Mantan perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengetahui sama ada permohonan untuk menggugurkan tiga pertuduhan dalam kes SRC International pada hari Selasa ini.
Ini berikutan representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara terhadap tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dan SRC International Sdn Bjd.
Pada prosiding terakhir yang berlangsung pada 10 Mac Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi tersebut belum diputuskan lagi.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 71, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Mahkamah Tinggi pada minggu ini juga akan meneruskan dengan mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Najib.
BACA JUGA: Larangan bersuara isu Titah Adendum Najib: Ini tindakan bakal diambil kerajaan