‘Ke mana hala tuju Pas? Ahli Pas perlu soal’

Setiausaha Agung AMANAH Faiz Fadzil mahu anggota parti Pas menyoal perihal hala tuju Pas kepada pimpinan Pas memandangkan Pas di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengutamakan keuntungan politik sebagai asas kerjasama berbanding dengan pimpinan terdahulu di bawah mantan presiden Pas allahyarham Fadzil Noor.

“Pas ketika zaman allahyarham Fadzil Noor cukup ikhlas berkawan dan meletakkan prinsip sebagai asas koalisi.

“Tetapi Pas di zaman Hadi Awang meletakkan keuntungan politik sebagai asas muafakat. Justeru, ahli Pas perlu bersuara dan bertanya kepada pemimpin Pas sekarang, ke mana halatuju PAS sekarang?

“Pas dakwa nak bawa ahli ke akhirat, tetapi akhirat yang mana jika prinsip perjuangan pun tidak menentu dan flip flop. Ternyata permainan Pas ini satu politik dan bukan agama.

“Maka, tiada sebab untuk orang ramai percaya syurga neraka ditentukan Pas. Kini masa sudah tiba untuk kita mula persoalkan PAS.”

Faiz berkata demikian ekoran seruan perpaduan Melayu yang diuar-uarkan oleh Pas susulan kekalahan mereka di dalam pilihan raya kecil Ayer Kuning.

Beliau menambah bahawa Pas takut dan akan melulut apabila melihat Umno semakin kuat.

“Alasan yang diberikan antara lain adalah perpaduan Melayu. Inilah yang saya sebut dalam kenyataan tersebut bahawa Perpaduan Melayu akan dimainkan bila parti menjadi lemah dan kekalahan di PRK Ayer Kuning menunjukkan PAS dan PN semakin lemah.

“Kekalahan kepada Umno pula menunjukkan betapa kuatnya sokongan rakyat termasuk orang Melayu kepada gabungan Perpaduan.

“Kekuatan inilah yang sangat ditakuti Pas dan Pas tiada pilihan lain selain mengalunkan semula Perpaduan Melayu yang ditolak oleh mantan Presiden Pas itu.

“Di sini jelas bahawa Perpaduan Melayu hanyalah satu alat politik dan ini bukan satu perjuangan yang ikhlas.

“Pas tidak ikhlas untuk berkawan dengan sesiapa kerana sikap mereka yang mudah bercerai dengan rakan koalisi lain.

“Pernah berkawan dengan DAP dan PKR, tetapi bercerai atas alasan RUU355, tetapi sekarang tidak lagi kedengaran suara RUU355.

“Berkawan dengan Umno atas penyatuan Melayu, tetapi bercerai lagi sekali dengan Umno. Kini, apa sahaja isu, hanya dikaitkan dengan DAP.

“Namun, berdasarkan sikap Pas ini, tidak mustahil yang Pas boleh berkawan semula dengan DAP.”

BACA JUGA: Perpaduan Nasional atau Perpaduan Melayu dari perspektif Fadzil Noor