Selepas Ayer Kuning, Pas, Bersatu sedar mereka tersalah pilih jalan
Kesediaan kepimpinan Pas untuk menjalinkan kerjasama dengan Umno membuktikan parti tersebut tersalah pilih jalan dengan menolak tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan pasca pilihan raya umum ke-15.
“Kenyataan terbaru kepimpinan Pas yang menunjukkan keinginan untuk kembali menjalinkan kerjasama dengan Umno memperlihatkan hakikat politik yang mula difahami rakyat bahawa keputusan mereka menolak Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 dahulu adalah satu kesilapan besar.
“Ketika negara memerlukan kestabilan, Pas memilih untuk kekal menyerang dan memusuhi Umno secara terbuka. Namun hari ini, nada mereka berubah.
“Dalam mereka terus memburukkan Umno di pentas politik dan media sosial, mereka juga dalam diam masih mengharapkan kasih daripada Umno.
“Inilah wajah politik yang tidak konsisten dan sukar difahami oleh rakyat biasa,” kata Ketua Pemuda AMANAH Perak Khairol Najib Hashim dalam satu kenyataan kelmarin.
Kedua-dua Pas dan Bersatu mula menyuarakan hasrat untuk bersama Umno dalam kerajaan.
Terbaharu, Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden mengulangi pendirian Pas yang sanggup bekerjasama dengan Umno.
Sebelum ini Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut menyatakan kesediaan partinya untuk bekerjasama dengan Umno, membentuk kerajaan persekutuan.
Khairol turut mengkritik sifat Pas yang dahulunya menolak peluang untuk bersama di dalam kerajaan perpaduan tetapi kini menagih simpati tanpa prinsip.
“Pas kini menagih peluang yang dahulu mereka tolak mentah-mentah. Dahulu pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Umno, hari ini mereka mula mengintai semula ruang untuk bersama.
“Sekalipun berpakaian retorik penyatuan, rakyat tahu ini hanyalah percaturan politik ketika kuasa semakin menjauh.”
Beliau turut menyatakan ianya berbeza dengan AMANAH yang konsisten dan berprinsip demi rakyat Malaysia.
“Bagi AMANAH, kami tidak bermain dua watak. Kami mengambil jalan yang sukar, tetapi konsisten dan berprinsip.
“Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan adalah pilihan rasional dan terbuka demi kestabilan negara.
“Bukan kerana kecewa, bukan kerana ditolak, tetapi kerana ia pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia.
“Biarlah rakyat menilai siapa yang jujur dalam pendirian, dan siapa yang terumbang-ambing mengikut cuaca politik semasa.”
Khairol juga yakin bahawa Umno matang untuk menilai parti mana yang wajar dijadikan sahabat.
“Kami juga yakin bahawa UMNO hari ini sudah cukup matang untuk menilai siapa sahabat yang benar-benar setia dan berprinsip, dan siapa pula yang hanya hadir ketika lemah, lalu pergi apabila merasa kuat.”
BACA JUGA: MP Pas perlekeh lawatan Menteri KPKT ke flat uzur, anggap macam lawatan sekolah