Ejekan ‘telefon ke hulu ke hilir’ pula jadi modal pembangkang
Pembangkang dilihat sudah kehabisan modal untuk menyerang Kerajaan MADANI apabila mengejek Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menelefon ke hulu hilir.
Ketika menyentuh isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berkata, kerajaan perlu mempercepat usaha bukan hanya “ke hulu ke hilir telefon sana sini”.
“Usaha ini perlu dipercepatkan bukan sekadar ke hulu ke hilir telefon sana sini kerap kali seperti disebut Perdana Menteri.
“… mempercepatkan kepelbagaian rantaian bekalan dan memperkukuh hubungan dagang pelbagai hala di peringkat Asean, OIC dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan CPTPP (Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik)…,” katanya.
Susulan itu, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menuntut supaya Syahir menarik balik kenyataan yang disifatkan sangkaan buruk terhadap Perdana Menteri itu.
Wakil rakyat daripada AMANAH berkenaan menegaskan Perdana Menteri bekerja untuk menyelesaikan masalah.
“Perdana Menteri cakna. Dia bertindak. Dia bekerja untuk selesaikan masalah itu.
“Saya nak minta Bachok tarik balik sebab itu sangkaan buruk kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Saya minta tarik balik,” tegas Sany berulang kali.
Walau bagaimanapun, Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dalam reaksi balasnya menganggap kenyataan itu adalah memuji Perdana Menteri.
BACA JUGA Kerajaan tingkat skim jaminan RM1 bilion, dana pembiayaan mudah RM500 juta depani kesan tarif AS