Kerajaan tingkat skim jaminan RM1 bilion, dana pembiayaan mudah RM500 juta depani kesan tarif AS

Kerajaan akan meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas bagi mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerajaan juga bersetuju menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI).

Menteri Kewangan itu berkata, ia antara langkah yang diambil Kerajaan Madani bagi mengatur strategi dalam memastikan kestabilan ekonomi serta mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana.

“Kerajaan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS.

“Selain itu, menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu seperti di Eropah, Timur Tengah, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta memperkukuh perdagangan serantau terutamanya dengan negara ahli ASEAN,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini.

BACA JUGA Langkah hadapi tarif timbal balas AS: PMX bakal perjelas di Parlimen hari ini