Langkah hadapi tarif timbal balas AS: PMX bakal perjelas di Parlimen hari ini
Perdana Menteri hari ini akan memberi penerangan terperinci mengenai langkah serta perancangan kerajaan dalam mendepani tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif balas terhadap semua import ke negara itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual menyampaikan penerangan tersebut pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula jam 11 pagi.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, penerangan itu dijangka menyentuh implikasi langsung tindakan AS terhadap ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan dan pelaburan serta pendekatan proaktif kerajaan dalam menyelaras respons merentas kementerian dan industri.
Penjelasan itu juga merangkumi penilaian semula terhadap dasar semasa bagi industri tertentu serta perancangan jangka panjang bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran ketegangan perdagangan global.
Mesyuarat Khas hari ini diadakan atas permintaan Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), bagi membolehkan isu-isu semasa yang mendesak dan memberi kesan langsung kepada rakyat dibahaskan secara menyeluruh.
Pada 9 April lalu, AS mengumumkan penangguhan selama 90 hari terhadap tarif balas individu yang dikenakan ke atas kebanyakan negara, namun mengekalkan tarif asas sebanyak 10 peratus.
Keputusan itu diambil susulan bantahan dan kebimbangan disuarakan oleh lebih 75 negara, termasuk Malaysia terhadap pelaksanaan tarif yang dianggap mengejut dan bersifat unilateral.
BACA JUGA Pilih berehat dulu bukan PRK khas untuk saya, kata Tengku Zafrul