Lima langkah fiskal dan kewangan agar ekonomi Malaysia atasi tarif timbal balas Amerika Syarikat
Berikut adalah lima langkah fiskal dan kewangan yang disyorkan oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) semasa sesi Dewan Rakyat khas hari ini.
Pertama, membekukan segala syor-syor menambahkan beban kewangan kepada industri seperti cukai atau kenaikan tarif letrik 14.2% dan pelaksanaan e-invoicing pada bulan Julai 2025 serta menangguhkan pengapungan minyak RON 95 kepada harga pasaran.
Pengumuman Timbalan Menteri Kewangan menangguhkan perluasan skop cukai SST pada 1 Mei 2025 amat dialu-alukan. Kerajaan juga harus menimbang menarik balik cadangan sumbangan KWSP 2% oleh majikan bagi pekerja asing.
Kedua, menurunkan kadar faedah Overnight Policy Rate(OPR) Bank Negara sebanyak 1% daripada 3% sekarang kepada 2%.
Memandangkan kadar inflasi kian terkawal, sasaran utama harus ditumpukan kepada menggerakkan pertumbuhan ekonomi.
Ketiga, pakej rangsangan ekonomi untuk membantu sektor terjejas dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.
Selain daripada geran kerajaan, sektor perbankan harus diwajibkan untuk memberikan pinjaman mudah atau memberikan kelonggaran atas pinjaman yang sedia ada.
Keempat, memberikan peluang perniagaan dan membuka access kepada industri tempatan dengan mewajibkan semua pelabur asing dan tempatan diwajibkan membeli sekurang-kurangnya 50% barangan tempatan.
Banyak industri kecil dan sederhana (IKS) membuat aduan bahawa kontraktor asing yang menangi pembidaan kerajaan dan swasta hanya membeli barangan daripada negara asal mereka sehingga IKS tempatan tidak memperolehi sebarang tempahan perniagaan.
Satu perkara yang sama penting ialah melindungi peniaga tempatan daripada peralihan perdagangan terutama sekali tindakan lambakan produk-produk oleh negara-negara yang disekat daripada memasuki pasaran Amerika Syarikat seperti negara China.
Penguatkuasaan menghindarkan lambakan barangan mestilah dipertingkatkan agar industri tempatan tidak ditimbun dengan barangan murah asing sehingga peniaga tempatan terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menjualkan barangan mereka.
Kelima, meningkatkan perbelanjaan pembangunan kerajaan agar dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi khasnya sektor perkhidmatan kewangan dan logistik seperti mengembangkan karga pelabuhan dan lapangan terbang.
Ini penting untuk mengurangkan defisit perkhidmatan yang dialami oleh Malaysia dengan negara lain khususnya Singapura.
BACA JUGA: Kerajaan tingkat skim jaminan RM1 bilion, dana pembiayaan mudah RM500 juta depani kesan tarif AS