Penggerak utama Kerajaan Perpaduan di Terengganu meninggal dalam kemalangan
Terengganu khasnya penyokong Kerajaan Perpaduan kehilangan seorang tokoh penggeraknya apabila Mohd Zubir Mohamed, Pengerusi Pertubuhan Muafakat Terengganu Baru (Muafakat) meninggal dunia hari ini.
Zubir meninggal dunia apabila terlibat dalam satu kemalangan maut di Mersing, Johor apabila kereta yang beliau pandu, Camry bertembung dengan sebuah kereta Toyota Estima di jalan Mersing – Jemaluang.
Menurut media komuniti Mersing, Zubir meninggal di tempat kejadian manakala pemandu Estima selamat.
Zubir adalah penggerak utama Muafakat, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang di daftarkan Mac tahun ini.
Beliau berjaya menghimpunkan pelbagai pihak yang menyokong Kerajaan Perpaduan di Terengganu ketika Dewan Undangan Negeri Terengganu di kawal sepenuhnya oleh Perikatan Nasional khasnya Pas.

Bekas Pengarah Komunikasi Amanah Terengganu ini (gambar) berjaya menghimpunkan pelbagai pihak yang tidak senang dengan halatuju kerajaan negeri yang ada ketika PH dan BN dilihat tidak bermaya selepas kalah 32-0 dalam pilihan raya negeri yang lalu.
Isu terbaru yang diperjuangkan oleh Muafakat adalah kenaikan mendadak kakitangan kerajaan negeri yang terletak di bawah Pas di Terengganu.
Muafakat mendakwa, Pas menggunakan wang kerajaan negeri untuk kepentingan anggota, penyokong dan parti itu apabila mewujudkan pelbagai institusi dan perjawatan di negeri itu.
Antara intitusi itu adalah Institut Kajian Strategik dan Intergriti Terenganu (TSIS), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-Mits), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (Duat), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI).
Ia terdedah apabila Kerajaan Pusat mengumumkan pemberian bonus raya baru-baru ini kepada lebih 14,000 kakitangan kerajaan negeri padahal negeri itu hanya mempunyai lebih 7,000 kakitangan sahaja sebelum negeri itu diambil alih oleh Pas.
Zubir dan rakannya telah membuat sidang media dan kenyataan media khas mengenainya di Kuala Terengganu.
Menurut keluarganya, jenazah Zubir akan dibawa ke rumah kakaknya di Kuala Terengganu selepas urusan bedah siasat selesai di Hospital Mersing.
BACA JUGA
Ramai pemimpin, aktivis Pas jadi penjawat awam di agensi baharu kerajaan Terengganu
5 institusi punca bilangan penjawat awam melonjak lebih 100% di Terengganu