Ini rupanya tawaran diterima penduduk flat jika setuju dengan pembaharuan semula
Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) adalah salah satu usaha berterusan dari kerajaan bagi menyediakan model perumahan yang bermaruah dan sesuai diduduki oleh orang ramai.
Kerajaan telah memberi jaminan akta ini tidak akan menafikan hak atau mengubah peratusan pemilikan Bumiputera di sesuatu kawasan.
Rundingan bersama pemaju dan penduduk juga dijalankan seadil yang mungkin. Namun ramai tidak tahu, apakah yang akan diperoleh oleh penduduk flat yang bersetuju dengan pembaharuan semula kediaman mereka.
1. Pemaju akan menanggung kesemua kos guaman, caj pindah milik unit rumah gantian baru dan kos penyelenggaran selama 3 tahun.
2. Pemilik yang menduduki unit rumah sedia ada akan mendapatkan dana kos perpindahan berjumlah RM6,000.
3. Tiga pilihan diberi kepada 148 pemilik flat sedia ada. Antara pilihan yang ada ialah, sekiranya pemilik menanggung sendiri segala kos sewaan unit rumah sewaan sementara selama 48 bulan, pemilik akan mendapat unit rumah gantian baru berkeluasan 1000 kaki persegi dengan anggaran nilai rumah berjumlah RM520,000.
4. Jika pemilik berkongsi kos sewaan unit rumah sewaan sementara bersama pemaju, iaitu pemaju membayar sebanyak RM800 sebulan selama 48 bulan, pemilik akan mendapat unit rumah baru berkeluasan 900 kaki persegi.
5. Sekiranya pemilik menolak unit rumah baru, mereka akan menerima gantian wang tunai sebanyak RM200,000.
Menurut Ahli Parlimen Bentong, Young Shefura Othman, tawaran-tawaran yang diberikan ini adalah munasabah dan mengambil kira kebajikan penduduk.
Beliau yakin pihak kerajaan juga sedang meneliti kaedah terbaik bagi memastikan kadar yuran penyelenggaran untuk unit baru kelak adalah berpatutan dan mempunyai mekanisme yang lestari dalam membiayai kos penyelenggaran bangunan baru itu kelak.
Pada masa sama, beliau menegur tindakan beberapa pihak yang sanggup menuduh bahawa akta ini ingin mengusir pendudukan orang Melayu di kawasan bandar.
“Ini adalah tuduhan jahat yang tidak berlandaskan fakta, malah hanya akan menyebabkan golongan miskin bandar berterusan terperangkap di dalam kawasan perumahan yang tidak selamat, usang dan membahayakan masa depan penduduk khususnya anak-anak mereka.
“Kerajaan telah menyatakan bahawa status tanah tidak berubah, jika tanah itu ialah rizab Melayu, ianya kekal sebagai rizab Melayu; jika pajakan 99 tahun, ia juga akan kekal begitu dan sekiranya statusnya ialah pegangan bebas (freehold), maka statusnya tetap sama. Tiada isu perkauman di sini.
“Akhir kata, saya menyeru kepada semua untuk berlapang dada membaca dan mengkaji akta ini, memberi pendapat yang sewajarnya, serta mengelakkan persepsi yang negatif,” ujarnya.
BACA JUGA Penganalisis jangka ringgit boleh cecah RM4 berbanding 1USD tak lama lagi