Penganalisis jangka ringgit boleh cecah RM4 berbanding 1USD tak lama lagi
Pakar ekonomi menjangkakan ringgit mampu mencecah paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat sekiranya aliran baik ini berterusan.
Pada pukul 8 pagi, ringgit naik kepada 4.1835/2035 berbanding dolar US daripada 4.1990/2035 ketika ditutup semalam.
Penganalisis, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pengukuhan itu dilihat sebagai satu pencapaian positif dalam pasaran pertukaran mata wang, meskipun ringgit sebelum ini mengalami penyusutan susulan pengumuman dasar tarif oleh Presiden AS, Donald Trump.
Menurutnya, walaupun ramai meramalkan ringgit akan terus lemah akibat tekanan tersebut, aliran semasa menunjukkan sebaliknya apabila mata wang tempatan kembali mengukuh berikutan kelemahan dolar AS yang ketara.
“Sekiranya aliran semasa ini berterusan, tidak mustahil ringgit mampu mencecah paras RM4 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat.
“Namun ia bergantung kepada hasil rundingan perdagangan antara China dan AS serta hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan AS,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat pada semalam memaklumkan sentimen pasaran disokong oleh Sidang Khas Parlimen mengenai tarif AS yang diadakan semalam, di mana kerajaan menyatakan kesediaannya untuk mengambil langkah perlu bagi mengurangkan kesan kejutan tarif dilaksanakan oleh Donald Trump.
BACA JUGA Pemandu e-hailing dedah Pamela Ling dipaksa keluar kereta oleh anggota polis