Pensijilan halal, mekanisme harga telur: Ini sebabnya Bank Dunia puji Malaysia

Bank Dunia hari ini memuji keputusan Malaysia memeterai perjanjian pensijilan halal dengan Indonesia serta pemansuhan kawalan harga telur secara berperingkat.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi, tindakan mengurangkan halangan birokrasi dalam pensijilan halal akan meningkatkan lagi perdagangan halal antara Malaysia dan Indonesia.

Dalam masa sama, Apurva juga memuji tindakan Malaysia memperkenalkan pelesenan digital bagi pengangkutan kereta api antara Malaysia dan Thailand yang dilihat sebagai langkah positif bagi perdagangan serantau.

“Ini menunjukkan halangan bukan tarif dalam ASEAN ini masih boleh diatasi,” katanya menerusi catatan di akaun X.

Beliau turut berkata, penamatan kawalan harga telur secara berperingkat wajar dipuji kerana memaparkan langkah yang jarang diambil serta kesannya ke atas pasaran.

Lebih-lebih lagi, jelasnya, Malaysia kerap melaksanakan serta menarik balik kawalan harga sewaktu musim perayaan.

“Ini seperti kawalan harga ke atas bawal putih dan bawang putih Cina yang diimport ketika Tahun Baharu Cina dan ke atas daging kerbau serta ikan tenggiri yang diimport ketika Aidilfitri,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Kenapa pembangkang ‘koyak’ lihat gambar Rafizi dan PMX ini?