Ringgit terus ‘mendunia’ capai RM4.19 berbanding 1 USD

Di tengah-tengah tindak balas kerajaan terhadap impak tarif daripada Amerika Syarikat, prestasi ringgit berterusan mencatatkan kenaikan.

Setakat malam tadi, ringgit ditutup pada paras 4.1990/2035 berbanding dolar AS. Ketika ditutup Jumaat minggu lepas, ringgit berada di paras 4.2560/2600.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, prestasi ringgit didorong oleh tindakan kerajaan dalam mesyuarat khas Parlimen semalam yang mempamerkan sikap pragmatik kerajaan dalam menangani kejutan tarif Donald Trump.

Katanya, kerajaan mengakui bahawa kejutan tarif itu dijangka memberi impak besar kepada ekonomi, dan mereka bersedia mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan kesannya.

“Ia menunjukkan iltizam kerajaan untuk bersikap telus dalam komunikasi kepada rakyat.

“Jadi, pada tahap tertentu, ini dapat menyumbang kepada keyakinan terhadap ekonomi dan kerajaan kita, serta akhirnya kepada ringgit,” katanya menurut laporan Bernama.

Pada penutupan semalam, ringgit menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2644/2682 berbanding 3.2862/2898 pada Jumaat, dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7497/7747 daripada 12.8697/8903.

BACA JUGA Sidang khas Dewan Rakyat bawa mesej konsensus nasional boleh dicapai, kata Dr Mujahid