Mengapa Mahiaddin cepat longlai, takut dengan ‘Malay First’?

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Yassin yang menyatakan bahawa slogan “Saya Melayu dahulu, baru Malaysia” tidak lagi penting.

Beliau berpendapat Presiden Bersatu berkenaan sebagai ‘cepat longlai’ memandangkan sebelum ini Mahiaddin menegaskan “Dia Melayu terlebih dahulu, rakyat Malaysia kemudian”.

“Sekarang dia (Mahiaddin) kata ia tidak lagi relevan. Cepat dia longlai.

“Apa masalahnya dengan slogan “I Malay first, Malaysian second”? Ia bukan berunsur perkauman. Ia tidak mengajak pembersihan kaum,” tegasnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mahiaddin Yassin

Pada 4 Mei lalu, Mahiaddin berkata, pandangan lamanya mengenai keutamaan identiti Melayu kini tidak lagi relevan dalam konteks semasa.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau kini merupakan pemimpin yang mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan menegaskan komitmen PN untuk berlaku adil kepada semua.

Mengulas lanjut, Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, ‘Melayu dahulu,baru Malaysia’ adalah soal identiti, budaya, nilai asal-usul.

“Tiada masalah setiap kaum menjaga identiti masing-masing. Itulah sumber kekuatan Malaysia yang berbilang kaum. Kenapa Muhyiddin takut?

Malay First” adalah penuh toleransı dan tidak menghalang kongsi kuasa. Ia melahirkan “kontrak sosial”.

“Sebab itu sekolah vernakular masih kekal di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menyifatkan Mahiaddin takut bayang-bayang sendiri.

Malay First” tidak kontradik dengan Artikel 153. Ia penyumbang kepada kesaksamaan dan keadilan sosial,” katanya lagi.

BACA JUGA Kalah di Ayer Kuning, Bersatu atau Pas tinggalkan PN dulu?