Minta maaf tak ikhlas, KPN mohon kebenaran mahkamah penjarakan Papagomo

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi supaya blogger kontroversi, Papagomo, dikenakan perintah komital dan dipenjara kerana menghina mahkamah.

Razarudin membuat permohonan itu kerana mendakwa permohonan maaf yang dibuat Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris pada 30 April lalu di dalam mahkamah bersifat tidak ikhlas dan tanpa penyesalan.

Penulis blog itu sepatutnya menyiarkan permohonan maaf di platform YouTube, Tiktok dan X sekurang-kurangnya selama tujuh hari.

Ia termasuklah perintah untuk memadamkan kenyataan pada 14 Januari lalu serta imej Razarudin yang disunting pada 15 Januari. Namun dia tidak melakukan sedemkkian.

Sehubungan itu Razarudin mengemukakan permohonan kali kedua selepas Papagomo gagal mematuhi perintah yang menghendakinya menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat kepada KPN dan mahkamah.

Wan Muhammad Azri juga didakwa dengan sengaja telah menerbitkan satu video di aplikasi TikTok atas nama Papa Azri dan YouTube (Sir Azri), pada jam 8.30 malam, 1 Mei.

“Tindakan itu merupakan penghinaan kali kedua terhadap mahkamah,” kata pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Mahkamah menetapkan prosiding pendengaran permohonan itu pada Jumaat ini.

Sebelum ini pada 1 Mei, Papagomo mendakwa dia adalah pihak yang “menang” biarpun selepas mengemukakan permohonan maaf tanpa bersyarat Razarudin Husain dan Mahkamah Tinggi.

Menerusi video dikongsikannya di TikTok, Papagomo berkata dia “menang” kerana selama ini pihak tertentu mahu memenjarakannya di Penjara Sungai Buloh.

BACA JUGA Cuba kalau MP DAP yang cadang, melompat lebai Pas