Isu Masjid Jamek Ar-Ridzuan: Pemuda AMANAH Perak cadang semua tanah wakaf segera daftar bawah MAIPk

Pemuda AMANAH Perak menyatakan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang cuba mengeksploitasi isu tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu demi keuntungan politik sendiri.

Menurut laporan, tanah tersebut yang telah bertukar milik kepada individu bukan Islam telah dijual oleh waris pewakaf sendiri dan bukan dirampas atau diambil paksa oleh kerajaan.

Ketua Pemudanya, Khiarol Najib Hashim berkata, isu pemilikan tanah ini perlu menjadi titik muhasabah untuk semua pihak di mana satu penyelesaian kolektif perlu digerakkan dan bukannya menabur lagi tuduhan tidak berasas.

Beliau melihat terdapat keperluan mendesak untuk semua institusi masjid, surau, sekolah agama dan tanah perkuburan Islam yang berada di atas tanah wakaf agar segera mendaftarkan tanah masing-masing di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Pendaftaran ini adalah satu-satunya jalan sah untuk memastikan tanah tersebut dilindungi dari sebarang pemindahan atau pelanggaran kepada niat pewakaf.

“Kami juga menyokong penuh cadangan agar sistem pendaftaran tanah wakaf di Perak ditambah baik dan dipermudah, dengan kerjasama rapat antara JAIPk, pejabat tanah dan MAIPk.

“Penguatkuasaan dan pemantauan berkala juga perlu diperluas bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masjid Jamek Ar-Ridzuan dibina di atas tanah yang telah diwakaf oleh pemilik asal.

Kemelut berpunca apabila tanah berkeluasan 0.61 hektar itu dijual oleh waris pewakaf tanpa pengetahuan pihak masjid.

Pihak masjid hanya menyedari perubahan hak milik tanah itu sekitar tahun 2015 ketika proses pengukuran semula kawasan tanah perkuburan bagi membina pagar.

Pengurusan masjid terkejut apabila mendapati tanah itu berpindah milik kepada individu bukan Islam dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tanah itu kemudian dijual kepada individu bukan Islam yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Pemilik baru pula langsung tidak dimaklumkan tanah dibeli adalah tempat rumah ibadat dan tanah perkuburan Islam.

Pemilik tanah itu bagaimanapun menawarkan dua pilihan kepada pengurusan masjid sama ada membeli semula tanah itu atau merobohkan semua struktur dibina di dalam tanah miliknya itu.

BACA JUGA PSB tidak boleh dikesampingkan, mahu terus mundur pilihlah Pas