Kuda liar yang dijinakkan? Pemimpin Melayu DAP jawab tohmahan veteran Umno

Dua pemimpin Melayu DAP menyangkal tohmahan setiausaha agung Kelab Veteran Umno Mustapha Yaakub yang menyifatkan DAP sebagai kuda liar yang perlu dijinakkan.

Naib pengerusi kebangsaan DAP Syahredzan Johan mengingatkan parti komponen kerajaan perpaduan agar saling menghormati parti rakan dan merangkul parti rakan berdasarkan titik persamaan.

“Kami menghormati perjuangan rakan dalam gagasan, dan kami juga menuntut supaya perjuangan kami dihormati. Kami tidak pernah menunggang mana-mana rakan gagasan, dan kami juga tidak akan ditunggang oleh mana-mana rakan gagasan.

“Atas kesedaran ini, dalam semua kerjasama yang DAP jalinkan, kami berpegang pada prinsip saling menghormati di antara parti-parti dalam gagasan politik.

“Sudah tentu ada jalur-jalur perbezaan di antara parti-parti yang berada dalam Kerajaan MADANI. Itulah lumrah demokrasi. Apa yang penting adalah dalam perbezaan yang ada, terdapat banyak titik persamaan dan perkara-perkara asas yang dipersetujui.

“Persefahaman inilah yang menjadi batu asas kepada kerjasama yang berpanjangan dan dapat merangkul kekuatan semua parti-parti yang ada dalam Kerajaan MADANI,” kata Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengingatkan Mustapha bahawa sejarah DAP, partinya pernah menjalinkan hubungan dengan pelbagai parti.

Dalam satu wawancara dengan Umno Online, Mustapha dipetik berkata seperti berikut:

“PAS telah berusaha menjinak kuda liar DAP selama ‘berPASDAP’’ dalam satu kandang. Tapi PAS tidak mampu menunggang DAP kerana PAS suka ‘masuk dari belakang’ sehingga ditendang oleh kuda liar itu. Akhirnya PAS mengundur diri dan keluar kandang.

“Hari ini kuda liar yang hampir jinak itu bersama Umno dan ia semakin jinak dalam kandang BN-PH.”

Sementara itu Ahli Parlimen Bukit Bendera pula Syerleena Abdul Rashid berkata kenyataan Mustapha merupakan cerminan kepada kedangkalan pemahaman sesetengah pihak.

“Kami tidak pernah meninggalkan idealisme kami — sebaliknya, kami membawanya ke dalam kerajaan, di mana kami dapat memperjuangkan reformasi yang benar-benar bermakna. Dan jika itu menggusarkan mereka yang bergantung kepada label dan perpecahan, maka terpulanglah.

“Melabel kami sebagai “jinak” hanya mendedahkan betapa dangkalnya pemahaman sesetengah pihak terhadap keberanian yang diperlukan untuk memimpin dalam waktu yang tidak menentu. Ini bukan penyerahan. Ini adalah tanggungjawab — dan terlalu sedikit yang sanggup memikulnya.

Syerleena turut menyoal matlamat Mustapha dalam membuat kenyataan sedemikian rupa.

“Malaysia hari ini ditadbir di bawah Kerajaan Perpaduan — sebuah gabungan yang dibina atas matlamat bersama, kompromi, dan akauntabiliti bersama. Setiap komponen, termasuk DAP dan UMNO, memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan keberkesanan pentadbiran ini. Maka apabila kenyataan seperti ini dikeluarkan secara terbuka, persoalan yang wajar ditanya ialah: siapa yang mendapat manfaat daripada naratif ini? Dan apa sebenarnya tujuan retorik sebegini?

“Adakah matlamatnya untuk memperkukuh kerjasama — atau untuk melemahkannya?

“Apabila ahli politik kembali menggunakan metafora seperti “kuda liar”, ia selalunya kerana mereka tidak mempunyai hujah yang kukuh untuk ditawarkan. Daripada membincangkan perbezaan dasar secara substantif atau mencadangkan alternatif yang bermakna, mereka memilih untuk menggunakan label yang bertujuan menimbulkan keraguan dan perpecahan.”

Syerleena turut menambah bahawa kenyataan Mustapha menghakis politik gabungan di dalam kerajaan perpaduan

“Mencadangkan bahawa rakan gabungan perlu dikawal atau dijinakkan adalah satu langkah yang berbahaya. Ia menghakis asas sebenar politik gabungan, di mana kemajuan dicapai melalui perundingan dan keterlibatan, bukan melalui hierarki.

“Kekuatan Malaysia bukan sahaja terletak pada kepelbagaian bangsanya, tetapi juga dalam kepelbagaian pandangan, suara, dan pengalaman.

“Kita tidak akan mampu mara ke hadapan jika kita terus menuntut mereka yang berfikiran berbeza untuk berdiam diri. Kita berkembang apabila kita sudi mendengar — walaupun kadangkala ia tidak selesa.

“Malaysia tidak dibina atas ketakutan. Ia dibina atas harapan bahawa pelbagai suara dapat bersatu dan tetap didengari.

“Kepimpinan sebenar tidak bergantung kepada kawalan — ia bergantung kepada kepercayaan. Ia tidak menolak yang lain ke tepi — ia membawa mereka bersama.”

BACA JUGA: Kaitkan bala Allah dengan DAP: Syahredzan, Rara sekolahkan Pas