Nahas enam kereta dirempuh lori di Lebuhraya Guthrie, polis tahan pemandu

Enam kereta terlibat dalam kemalangan di susur keluar Lebuhraya Guthrie menghala ke lampu isyarat Bukit Subang selepas dirempuh sebuah kenderaan muatan berat semalam.

Dalam kejadian itu, dua beranak parah membabitkan seorang wanita berusia 29 tahun dan anak perempuannya yang berada dalam kerusi bayi, berusia empat tahun.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 1.20 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal dari rakaman video mendapati pemandu lori berusia 31 tahun itu gagal mengawal kenderaannya hingga melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga BLM.

“Kemalangan itu turut melibatkan empat kenderaan lain yang berada di lorong bersebelahan.

“Kejadian mengakibatkan pemandu dan penumpang Proton Saga parah serta kerosakan teruk kepada semua kenderaan terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hafiz berkata, susulan kejadian, polis menahan pemandu lori iaitu lelaki berusia 31 tahun untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyantie Mohd Rafae di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222.

BACA JUGA Kelantan Darul Naim FC masih berhutang empat bulan tunggakan gaji