Pemimpin Bersatu ini dikompaun RM10,000, boleh pula dakwa menteri ‘sakit hati’

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun RM10,000 terhadap Mohamad Shafiq Abdul Halim atas kandungan jelik di TikTok yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama berkaitan isu pekerja Menara KL pada 31 Mac lalu.

Tindakan kompaun terhadap Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat itu dibuat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menurut MCMC dalam satu kenyataan.

MCMC berkata, akta tersebut melarang penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi untuk menyebarkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau.

“Penyebaran kandungan yang boleh menjejaskan sensitiviti agama, kaum atau institusi diraja tidak akan dikompromi,” jelas MCMC dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, MCMC turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika dalam setiap perkongsian yang dilakukan dalam talian.

Agensi kerajaan yang berstatus badan berkanun di bawah Kementerian Komunikasi itu terus komited untuk terus memastikan ruang siber negara kekal selamat, teratur dan harmoni.

Ia seiring usaha memperkukuh perpaduan nasional serta menjamin kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Sementara itu, Mohamad Shafiq dalam kenyataannya menafikan dakwaan pihak MCMC memandangkan semasa sesi siasatan, jelasnya, dia telah mengemukakan rujukan fakta yang relevan kepada pegawai penyiasat.

“Adalah tidak mustahil bahawa kemungkinan tawaran kompaun ini mempunyai kaitan dengan Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, yang sakit hati terhadap saya berhubung isu konsesi Menara Kuala Lumpur.

“Saya juga telah mendapatkan nasihat perundangan, dan pihak peguam sedang dalam proses menyediakan jawapan rasmi terhadap surat tawaran tersebut dalam masa terdekat,” kata Shafiq lagi.

BACA JUGA Ini buktinya cadangan PSB disuarakan sejak menteri zaman kerajaan PN