10 nama bertanding Naib Presiden PKR, jawatan Timbalan masih kosong

Setakat jam 12 tengah malam tadi sekurang-kurangnya 10 nama telah mencalonkan diri bagi bertanding merebut jawatan Naib Presiden PKR.

Dua nama besar yang terpapar pada sistem pencalonan pemilihan termasuklah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Penyandang jawatan itu turut bertanding iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Enam lagi yang turut bersaing ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Timbalan Ketua Penerangan I PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan serta Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Turut bertanding ialah ahli MPP PKR, Senator Abun Sui Anyit, Hee Loy Sian dan R Yuneswaran.

Sumber foto FB Jason Yew

Sementara itu seramai 67 ahli mencalonkan diri bagi merebut tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Manakala buat masa ini jawatan Presiden yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli masih tiada pencalonan.

Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat dibuka selama dua hari bermula jam 12 tengah malam tadi (8 Mei) hingga jam 11.59 malam ini.

BACA JUGA Terima kasih rakyat Malaysia, Masjid Jamek Ar-Ridzuan kutip lebih RM2.3 juta