AMANAH jangan lelah menjual ‘Rahmah’
OLEH AZRI DIN
AMANAH bakal memasuki usia sedekad tahun ini sejak penubuhannya pada 16 September 2015.
Muncul dengan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin dan pendekatan Politik Rahmah, AMANAH sejak awal komited menolak ektremisme dan mengangkat politik nilai.
Biarpun di awal penubuhannya AMANAH dilabel sebagai parti nyamuk, munafik, bahkan dihalalkan darah oleh pihak tertentu kerana langkah pemimpinnya keluar daripada Pas, mereka tetap teguh melangkah.
Tanpa henti, mereka terus menyebarkan politik Rahmah — satu pendekatan politik berteraskan nilai, yang semakin terhakis akibat pengaruh politik perkauman sempit dan kebencian yang dimainkan oleh Pas dan rakan gabungannya.
Ketika menjadi kerajaan pada 2018, AMANAH berjaya menerapkan agenda ‘Rahmah’ dalam pentadbiran melalui Kementerian Agama di bawah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
Agenda ini bagaimanapun hanya berjaya di peringkat dasar sebelum terkubur akibat Langkah Sheraton yang digerakkan Pas dan Bersatu, menyebabkan kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan memerintah.
Namun, selepas kemenangan PH dalam PRU15 dan pembentukan kerajaan perpaduan bersama UMNO, Rahmah sekali lagi diangkat sebagai agenda kerajaan.
Kali ini, ia diterajui oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pada peringkat ini, nilai Rahmah lebih dirasai dan membumi melalui program ‘Payung Rahmah’ yang digagaskan oleh beliau.
Payung Rahmah bukan sahaja menjadi perbualan rakyat, malah turut diangkat sebagai jenama kejayaan kerajaan.
Namun, AMANAH dan negara kehilangan permatanya apabila Salahuddin meninggal dunia secara mengejut pada 23 Julai 2023.
Pemergian Salahuddin heret sekali perjuangan Rahmah
Pemergian Allahyarham seolah-olah mengheret sekali perjuangan Rahmah yang mula mendapat tempat di hati rakyat.
Namun, hakikatnya langkah itu tidak terhenti, malah ia semakin rancak meskipun tidak lagi digerakkan melalui kementerian tertentu secara spesifik.
Masing-masing kementerian diterajui AMANAH membawa agenda Rahmah secara tidak langsung melalui inisiatif baharu yang diperkenalkan.
Walaubagaimanapun, saya ingin memuji usaha berterusan YB Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Presiden AMANAH yang bergerak ke sana ke sini ‘menjual Rahmah’ di dalam dan luar parti.
Sehinga kini AMANAH melalui Akademi Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) diterajuinya dilihat telah berjaya menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk MAIWP, JAKIM, Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UMCCD), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Yayasan Canselor UKM dan Institut Islam Hadhari.
Kesemua mereka menyatakan kebersamaan terhadap usaha membendung budaya ekstrem dan takfiri dalam masyarakat.
Malah, AMANAH turut dijemput berkongsi pengalaman di peringkat antarabangsa, antaranya melalui kerjasama bersama Bangsa Moro General Attorney Office (BAGO), Institut Teologi Baku Azerbaijan, serta Singapore Regional Outlook Forum di Singapura.

Bukankah ini satu pengiktirafan kepada perjuangan Rahmah yang dibawa AMANAH?
Segala usaha ini menunjukkan bahawa AMANAH kini sedang memasuki fasa baru perjuangannya.
Jika dahulu mereka dilabel sebagai parti kecil yang tidak berpengaruh, kini mereka semakin diterima sebagai pemimpin dalam menyebarkan naratif Islam Rahmah.
Penonjolan dan penerimaan masyarakat yang semakin meningkat terhadap AMANAH ini juga dibantu oleh imej pembangkang yang semakin tepu idea dan hanya bergantung kepada sentimen kaum dan agama yang tidak lagi relevan.
Dalam arus perubahan politik hari ini, masyarakat mula menuntut pendekatan yang berteraskan nilai, bukan sekadar retorik kuasa.
Dalam keadaan AMANAH sebagai parti dalam kerajaan, usaha ‘menjual’ Rahmah yang selari dengan gagasan Malaysia MADANI tidak harus berhenti, malah perlu dilaksana secara lebih strategik dan bersepadu.
Bukankah nilai-nilai Rahmah itulah yang menjadi roh kepada MADANI?
Bukankah tokoh seperti Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa – yang sejak sekian lama memperjuangkan gagasan Rahmatan lil ‘Alamin dengan kesungguhan dan kefahaman mendalam – wajar diberi ruang dan peranan lebih luas untuk membumikan nilai MADANI dalam masyarakat?
Saya rasa, kita dan ramai lagi boleh bersetuju dengan itu.
Penulis adalah rakyat biasa yang cintakan kedamaian, mahukan rakyat Malaysia bebas dari pemikiran keganasan.
BACA JUGA Sah PH, BN akan bekerjasama di PRN Sabah