Kumpulan baharu mahu edar bantuan kemanusiaan di Gaza
Sebuah kumpulan baharu – Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang terdiri daripada kontraktor keselamatan Amerika, bekas tentera, dan pegawai bantuan kemanusiaan mahu melaksanakan sistem pengedaran bantuan kemanusiaan di Gaza.
GHF membuat permohonan ini setelah PBB dan kumpulan misi bantuan menolak usaha Israel untuk mengawal pengedaran bantuan, lapor AP.
GHF yang berdaftar di Geneva, Switzerland mengetengahkan kaedah yang hampir sama dengan Israel.
Menurut seorang pegawai PBB, Israel mahu menjadikan bantuan kemanusiaan sebagai senjata dengan menyekat pihak yang sepatutnya menerima bantuan tersebut.
GHF pula bercadang mengedarkan bekalan yang berbungkus, bekalan air yang mudah di bawa, kit pembersihan, selimut dan bekalan berkaitan di hab pengedaran.
Ia juga mahu bekerjasama dengan PBB dan kumpulan kemanusiaan antarabangsa lain untuk mengedarkan bekalan.
Buat masa ini mantan pengarah Program Makanan Dunia PBB David Beasley dikatakan akan mengetuai GHF.
Pentadbiran Trump telah memberikan sokongan kepada rancangan GHF memandangkan ia akan beroperasi di dalam lingkungan yang dipersetujui oleh Israel dan bertindak secara bebas dan berpegang kepada prinsip kemanusiaan.
Sebagai permulaan, GHF akan mendirikan empat pusat pengedaran dimana setiap pusat mampu memberi bantuan kepada 300,000 orang.
Sistem ini akan dipertingkat untuk membantu keperluan dua juta orang.
Walau bagaimanapun tiada rangka waktu dikemukakan.
Subkontraktor yang terlibat akan menghantar bekalan dari sempadan Gaza ke pusat-pusat pengedaran menggunakan kenderaan berperisai.
BACA JUGA: Rancangan terbaharu Israel terhadap Semenanjung Gaza