Pertandingan sengit untuk jawatan Timbalan Presiden PKR bukan pertandingan biasa-biasa

Perlawanan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti kali ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi membawa mesej penting tentang masa depan parti pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua AMK Cabang Alor Setar, Harith Najmi Salehuddin berpandangan, perlawanan bagi kerusi Timbalan Presiden merupakan satu signal jelas dan menjawab persoalan tentang siapa yang akan mengetuai dan yang akan menggantikan kerusi presiden parti berkenaan.

“Kedudukan Timbalan Presiden sering dilihat sebagai kerusi yang hangat dan dinanti-nantikan oleh rakyat. Calon yang menang akan diposisikan sebagai penerus utama, sekaligus mencerminkan kesediaan PKR untuk melalui proses peralihan kuasa secara terancang.

Harith melihat pemilihan ini juga menjadi medan ujian bagi keseimbangan kuasa antara faksi dalam PKR.

Calon yang dipilih perlu menyatukan antara golongan ‘reformis’ dan golongan ‘baharu’ dalam parti jika ingin melihat parti ini kekal kuat dan relevan di masa akan datang kerana dua golongan ini merupakan aset terbesar bagi PKR.

Keputusan pemilihan akan menentukan hala tuju ideologi PKR sama ada kekal progresif atau lebih moderat.

“Keputusan pemilihan ini juga kritikal untuk persiapan PKR menghadapi PRU16. Timbalan Presiden yang terpilih perlu memainkan peranan utama dalam memulihkan keyakinan pengundi, terutamanya selepas prestasi kurang memberangsangkan dalam PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

“Calon yang dilihat mampu menyatukan pelbagai sayap parti dan menarik sokongan pelbagai kaum akan memberi kelebihan strategik kepada KEADILAN dan disamping mengekalkan kolaborasi yang jitu antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.”

“Perlawanan kerusi Timbalan Presiden PKR bukan sekadar tentang siapa yang menang, tetapi tentang masa depan parti sebagai kekuatan politik reformis.

“Keputusan ini akan menjawab persoalan ahli PKR akan persiapan untuk menerima ketua yang baharu bagi menggantikan Dato Seri Anwar Ibrahim dalam penerus mengetuai sebagai Presiden.”

Puteri Reformasi Nurul Izzah Anwar dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bakal berentap untuk jawatan nombor dua tersebut dalam sesi pemilihan hujung bulan ini.

BACA JUGA: Pemilihan PKR: Anwar akan isi borang kemudian